KUALA TERENGGANU - Kehilangan bapa, dua tahun lalu sebagai pendorong bagi Muhammad Syauqellah Razali, 18 dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malik apabila mendapat keputusan 11A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan, semalam.

Anak ketiga dari empat beradik itu, berkata, arwah ayahnya, Razali Ibahim yang merupakan pembantu perawatan kesihatan di Hospital Sultanah Nurzahirah (HSNZ) meninggal akibat serangan jantung.

“Meskipun, arwah tiada, saya harap arwah berbangga dengan kejayaan ini,” katanya selepas pengumuman SPM di Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu bersama ibunya, guru kelas Agama dan Fardhu Ain, Zainab Yusof, 49.

Berkongsi rahsia kejayaan, Muhammad Syauqellah berkata, dia hanya mengulang kaji pelajaran dua hingga tiga jam pada setiap malam, terutama kepada topik yang kurang difahami semasa di dalam kelas.

“Selain itu, saya menggunakan formula D.U.I.T. iaitu doa, usaha, istiqamah dan tawakal.

Sebab setiap perkara yang kita lakukan perlu dimulakan dengan doa, mohon restu dan berkat, diteruskan dengan usaha bersungguh-sungguh apa yang dirancang.

“Teruskan sehingga berjaya sampai kita puas hati dan buat yang terbaik seperti mana yang diinginkan. Apa-apa pun terjadi, keputusan, kita reda sahaja,” katanya yang menetap di Kampung Gong Tok Nasek.

Katanya, semasa peperiksaan percubaan sebelum ini, dua subjek, iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris hanya mendapat gred A sahaja tetapi apabila peperiksaan sebenar dia mendapat A+  yang membantu dia mendapat 11A+.       

Katanya, dia berhasrat ingin menyambung pelajaran ke Universiti Malaya (UM) dalam bidang kejuruteraan.