Marang - 'Jarum peniti masih berada dalam ususnya tapi dia boleh bercakap dan menelan makanan dengan baik.'

Demikian kata ibu pelajar tingkatan dua, Norain Azira Azmi yang tertelan jarum peniti ketika memakai tudung.

Noraslinda Ibrahim, 36, berkata, pihak hospital juga memaklumkan akan melakukan pemeriksaan susulan Rabu ini termasuk menjalankan pembedahan sekiranya jarum peniti dalam ususnya itu dapat diimbas.

“Kejadian ini kali pertama berlaku dan saya berharap jarum tersebut akan keluar,” katanya.

Sinar Harian hari ini melaporkan seorang pelajar perempuan di asrama sebuah sekolah di sini terpaksa menyambut hari lahirnya yang ke-14 di hospital gara-gara tertelan jarum peniti.

Dalam kejadian kira kira jam 2 petang itu, gadis itu tertelan salah satu dari dua batang jarum peniti yang hendak digunakan pada kain tudungnya secara tidak sengaja.

Noraslinda berkata, kejadian di asrama itu berlaku apabila anaknya meletakkan jarum peniti tersebut di mulut sambil bercakap ketika memakai tudung.

Susulan itu, katanya, anaknya dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah selepas rakan anaknya itu memberitahu guru di asrama berkenaan.

“Saya pula dimaklumkan mengenai perkara itu oleh guru terbabit selepas Norain Azira dikejarkan ke hospital. Kebetulan kejadian berlaku pada hari jadinya,” katanya.

“Kejadian ini kali pertama berlaku dan saya berharap jarum tersebut akan keluar,” katanya.

Dia juga mengucapkan terima kasih kepada pihak sekolah kerana cepat membantu anaknya.