MERANG - Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) diminta membuat penilaian mengenai Kem EmpowerXChange, Awaken The Giant Within yang diadakan pihak terbabit.

Penolong Pengarah Teknik dan Vokasional, Jabatan Pendidikan Negeri, Adam Ismail berkata, ia bertujuan melihat sejauh mana peningkatan pelajar yang terlibat dalam keputusan peperiksaan awam.

Menurutnya, usaha Unisza yang dilaksanakan universiti itu tepat pada masanya dalam memastikan kecemerlangan pelajar dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Terengganu.

Bagaimanapun, Adam berkata, pencapaian pelajar yang terbabit dengan program itu amat memberangsangkan dan menunjukkan peningkatan.

“Ia penting supaya pelajar yang terdiri daripada keluarga miskin ini memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan mereka.

“Walaupun tidak dapat A+, cukuplah sekadar A kerana mereka ini perlu dibimbing,” katanya pada Majlis Penutup Kem EmpowerXChange Daerah Marang dan Hulu Terengganu, di sini.

Adam berkata, sepatutnya, 300 pelajar golongan miskin di setiap daerah dipilih menyertai kem berkenaan tetapi kali ini hanya melibatkan pelajar dari Daerah Marang dan Hulu Terengganu.

Program itu melibatkan sekolah-sekolah terpilih yang tidak mengadakan kerjasama dengan mana-mana agensi lain dalam bentuk kem motivasi kepada pelajar.

Berhubung program, seramai 180 pelajar dari enam buah sekolah menengah di Marang dan Hulu Terengganu menyertai kem terbabit.

Antaranya, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Diman, SMK Kuala Jeneris dan SMK Tapu dari daerah Hulu Terengganu.

Manakala dari Marang pula, SMK Seri Payong, SMK Seri Serating dan SMK Rusila.