HULU TERENGGANU- Kementerian Pendidikan mensasarkan penambahan sebanyak 10 buah lagi Kolej Tingkatan Enam(KTE) Mod Satu di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak bagi tempoh dua tahun akan datang.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata bagi mencapai tahap berkenaan (Mod Satu) sesebuah pusat tingkatan enam perlu memiliki premis berasingan dengan sekolah arus perdana dan punyai pentadbiran tersendiri.

"Buat masa ini sudah terdapat 10 buah KTE Mod 1 di seluruh negara dan kita hendak tambah dari semasa ke semasa. Kalau boleh dalam tempoh dua tahun ini, kita sasarkan atau dapat lagi penambahan 10 buah KTE  termasuk di Sabah dan Sarawak.

"Bagi tingkatkan pusat tingkatan enam kepada KTE Mod Satu, bukan sahaja perlu ada bangunan dan pentadbiran sendiri tetapi juga kemudahan-kemudahan lain bagi menjamin suasana lebih kondusif seperti asrama dan dewan makan.

"Tidak semestinya bina bangunan baharu tetapi boleh juga guna yang sediada, cuma kita tambah kemudahan seperti asrama. Seperti Kolej Tingkatan Enam Hulu Terengganu (Hutecs) ini, dulunya Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Berang.

"Sesebuah KTE Mod Satu boleh menampung 250 pelajar hingga 300 orang pada satu-satu masa. Sasaran penambahannambahan 10 buah lagi KTE Mod Satu ini antara usaha bagi memantapkan lagi akademik serta pelajar tingkatan enam seluruh negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Prasmian Hutecs dan Perasmian Berkelompok Mesyuarat Agung  Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah-sekolah Dalam Parlimen Hulu Terengganu.

Turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari; Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang serta Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat.

Pada majlis tersebut juga, Mahdzir Khalid turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM300,000 kepada Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Terengganu bagi keperluan pengurusan dan pentadbiran.

Sementara itu, untuk rekod, Kolej Tingkatan Enam Mod 1 mempunyai premis berasingan dengan sekolah arus perdana dan mempunyai pentadbiran tersendiri serta beroperasi dengan sekurang-kurangnya 12 kelas.

Mod 2 pula merujuk kepada pemusatan kelas Tingkatan Enam sekurang-kurangnya 12 kelas di blok berasingan di sekolah arus perdana, manakala Mod 3 merujuk kepada pemusatan kurang daripada 12 kelas dan berkongsi blok di sekolah arus perdana.