KUALA Terengganu – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin melakar sejarah tersendiri apabila mewujudkan Little Free Library atau lebih dikenali dengan konsep wakaf buku, khusus untuk warga sekolah itu.

Pegawai Mentor Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) dan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA), Bahi Amin Bakar berkata, dengan tertubuhkan Little Free Library di sekolah itu, ia menjadikan jumlah keseluruhan LFL di negeri ini sebanyak empat buah.

“Penubuhan LFL di SMK Padang Midin adalah yang keempat di negeri Terengganu dan yang ke-10 di Malaysia. Tiga yang lain di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (Sesma), SMK Bukit Sawa dan Kampung Pulau Rusa.

“Pada awalnya, organisasi ini (Little Free Library) hanya menyasarkan penubuhan sebanyak 2,000 lebih sahaja bagi 70 negara, tetapi sambutan hangat dan luar biasa menjadikan jumlahnya kini lebih 50,000 di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Little Free Library SMKPM dan Penyerahan Cek Sempena Anugerah GPS Bestari, di sini, kelmarin.

Sementara Pengetua SMK Padang Midin, Zah Mohamad berkata, idea awal penubuhan LFL diperoleh ketika lawatan ke SMA Tengku Amalin A'ishah Putri, Kota Bharu.

“Kita tertarik dengan konsep wakaf buku yang diadakan yang mana buku-buku terpilih akan diletakkan di sini (perpustakaan mini). Ia meliputi buku ilmiah dan buku yang mempunyai maklumat untuk orang ramai dengan konsep take a book, return a book,” katanya.

Pada majlis itu SMKPM menerima sebanyak RM2,000 dalam pertandingan anjuran GPS Bestari bagi tempat ketiga bagi kantin paling A kategori sekolah menengah, tempat ketiga pusat sumber paling inovatif (sekolah menengah) dan termasuk dalam kelima utama guru paling popular (sekolah menengah).

Katanya, dengan kemenangan itu, pihaknya bercadang untuk membina lebih banyak pondok Little Free Library di sekitar kawasan sekolah.

“Mengikut perancangan akan ada 10 buah pondok kecil LFL di sekitar kawasan sekolah bagi menggalakkan budaya membaca dalam kalangan warga sekolah,” katanya.