DUNGUN - Mayat remaja yang dihanyut ombak dalam tragedi di Pantai Teluk Bidara semalam ditemui dalam keadaan terapung.

Mayat Muhamad Haikal Mohamood Puzy, 17 ditemui terapung dalam jarak 100 meter dari lokasi kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Saifuddin Mohamad berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira jam 12.33 tengahari.

"Anggota bomba yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) membuat rondaan di pesisir pantai dan ternampak satu objek terapung.

"Apabila didekati memang ia mayat mangsa dan kita bawa naik ke darat," katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, operasi mencari pelajar dari SMK Kompleks Padang Jambu itu dimulakan seawal jam 7.00 pagi tadi melibatkan pelbagai agensi.

"Seramai lebih 50 anggota terlibat dalam operasi ini termasuk bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Maritim, Flying skuad dan nelayan.

"Mayat mangsa yang hilang sejak petang semalam selepas dihanyut dan ditarik ombak itu dibawa ke unit forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat," katanya.

Dalam insiden kira-kira jam 6.30 petang semalam, lima remaja dihanyut arus ketika mandi-manda di pantai Teluk Bidara.

Empat daripadanya terselamat, manakala mangsa yang beralamat dari Jalan Nibong Stesen terkorban.