KUALA NERUS - Seorang murid dari Madrasah Darul Taqwa Batu Enam, di sini berjaya berjaya murid terbaik Ujian Penilaian Sekolah Rendah Islam (UPSRI) dengan memperoleh keputusan 13A dalam keputusan yang diumumkan, baru-baru ini.

Lebih membanggakan lagi, tahun ini juga merupakan kali pertama 13 mata pelajaran diperkenalkan berbanding 12 mata pelajaran sebelum ini sekali gus menjadikan anak bongsu kepada pasangan Sazali Mohd Noor dan Zaleha Salleh iaitu Ahmad Amir Muzakkir Sazali, 11, muncul sebagai pelopor kepada kejayaan berkenaan.

Ahmad Amir Muzakkir yang juga merupakan murid tahfiz memperoleh keputusan 12A dan 1C dalam peperiksaan percubaan sebelum ini mengakui dia belajar seperti orang lain, namun apa yang paling utama adalah fokus ketika berada di dalam kelas.

Ahmad Amir Muzakkir muncul murid terbaik UPSRI

 

Zaleha berkata, sama seperti ibu bapa yang lain, dia dan suami sentiasa memastikan anak-anak mendapat pendidikan terbaik bukan sahaja dalam akademik, tetapi juga dalam ilmu agama.

"Sebagai ibu saya berbangga dengan pencapaian cemerlang Ahmad Amir Muzakkir ini dan terima kasih kepada semua guru yang banyak membantu.

"Walaupun dia anak bongsu, tapi dia sangat berdikiri dan memilih untuk tinggal di asrama," katanya. Menurutnya, dia berharap kejayaan anaknya itu tidak berhenti di situ sahaja.

"Saya harap dia ikut jejak langkah adik beradik lain macam abang sulungnya yang menamatkan pengajian Universiti Malaya (UM), seorang lagi masih menuntut di UM dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) manakala seorang lagi masih di sekolah menengah," katanya.

Barisan tetamu kenamaan yang hadir pada majlis pengumuman keputusan UPSRI 2017.

Baca al-Quran setiap hari

Katanya, amalan membaca al-Quran setiap hari selepas Maghrib yang diterapkan dalam diri anak-anak termasuk Ahmad Amir Muzakkir secara tidak langsung dapat membentuk disiplin diri yang tinggi.

"Saya dan suami tak kongkong anak sebaliknya kami biarkan dia membesar seperti anak-anak lain. Waktu main, mereka bermain tapi waktu belajar, kena belajar bersungguh-sungguh. "Pendedahan ilmu akademik dan agam yang seimbang perlu bagi memastikan mereka mampu menangkis cabaran dalam dunia penuh mencabar ini," katanya yang merupakan guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Guntong ini.

Zaleha juga turut berkongsi resipi kejayaan kepada bakal-bakal ibu dengan memastikan seawal usia kehamilan lagi dia mengamalkan pemakanan yang sihat serta mengikut sunnah, selain sentiasa membaca al-Quran.

Ahmad Amir Muzakkir muncul murid terbaik UPSRI



 89 calon duduki UPSRI

Sementara itu, Mudir Madrasah Darul Taqwa Batu Enam, Hazha Rajab berkata, secara keseluruhan seramai 89 calon menduduki peperiksaan UPSRI itu tahun ini.

Madrasah itu juga turut dinobatkan sebagai madrasah terbaik untuk tahun kedua berturut-turut dengan pencapaian gred purata 2.36.

“Alhamdulillah, syukur dengan kejayaan yang direkodkan madrasah ini dan diharap ia akan terus menjadi pembakar semangat kepada guru-guru dan murid-murid lain untuk berjaya.

“Kejayaan ini tidak akan dicapai tanpa ada kerjasama dan penglibatan semua pihak dan saya ingin ambil peluang ini untuk ucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua,” katanya.

Menurutnya, meskipun terdapat satu tambahan mata pelajaran pada tahun ini, namun rata-rata calon menunjukkan prestasi membanggakan.

Kesemua mata pelajaran itu terdiri daripada Al-Quran Tajwid, Tafsir Hadis, Bahasa Arab, Tauhid, Fekah, Sirah, Akhlak, Bahasa Melayu 1, Bahasa Melayu 2, Matematik, Sains, Bahasa Inggeris 1 dan Bahasa Inggeris 2 merupakan mata pelajaran tambahan yang baharu.

Sementara itu, penyampaian sijil disempurnakan Ketua Penerangan Terengganu, Mohd Nor Hamzah