DUNGUN - Walaupun hanya di padang sekolah, program perkhemahan perdana unit beruniform Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kuala Abang 2017 yang berlangsung selama tiga hari berturut-turut, baru-baru ini bukan sahaja meninggalkan impak positif tetapi memberi pelbagai ilmu dan pengalaman berguna kepada peserta.

Program tersebut melibatkan kesemua ahli persatuan unit beruniform SMKA Kuala Abang yang terdiri dari pelajar tingkatan satu hingga lima.

Antara badan beruniform yang turut serta ialah Pengakap, Persatuan Bulan Sabit Merah, Renjer puteri, Puteri Islam, Kadet Remaja Sekolah, Pandu Puteri, Kadet Polis dan Kadet Bomba.

Pengetuanya, Mat Lazim Mamat berkata, secara objektif program berkenaan dapat memupuk bakat kepimpinan dalam kalangan pelajar dan memberi pendedahan mengenai ikhtiar hidup di hutan atau bagaimana mahu bertindak sekiranya berlaku kejadian tidak diingini seperti sesat di hutan.

“Menerusi aktiviti dijalankan, bakat kepimpinan pelajar dapat dicungkil dan memperbaiki cara berkomunikasi dengan lebih berkesan," katanya.

Menurutnya, apa yang penting adalah semangat kerjasama, kerja berpasukan dan tanggungjawab diterapkan melalui pengisian yang diatur.

“Secara tidak langsung mewujudkan sifat berdaya saing yang lebih proaktif dan dapat diamalkan dalam kehidupan seharian.

“Para peserta juga akan lebih dekat dengan alam semula jadi dan menimbulkan rasa lebih bertanggungjawab untuk sama-sama menjaga keindahan serta keunikan alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata, dalam masa masa, aktiviti kokurikulum yang dilaksanakan dapat mewujudkan keseimbangan dalam sistem pendidikan.