KAMPUNG RAJA -  Anak petani, Anis Aqila Mohamad, 18, tidak menyesal mengambil keputusan bertukar daripada sekolah cemerlang kepada sekolah harian  biasa kerana dia tetap memperoleh keputusan cemerlang dalam keputusan SPM yang diumumkan semalam.

Calon dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tembila  itu memperoleh keputusan semua 9A dalam peperiksaan tersebut.

“Saya belajar di SMK Tengku Mahmud sehingga Tingkatan 2 tetapi kemudian minta tukar ke SMK Tembila kerana tidak mahu tinggal di asrama dan mahu berulang alik dari rumah di Kampung Gong Medang,” katanya.

Anis Aqila berkata demikian kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas menerima keputusan yang disampaikan Pengerusi  Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Tembila  merangkap Exco Kerajaan negeri, Datuk Muhammad Pehimi Yusof di sekolah itu dekat Tembila tengah hari semalam.

Dia berkata lagi, tindakannya bertukar sekolah pada awalnya agak membimbangkan ibu bapanya namun berubah selepas dia memperoleh  keputusan  10 A dalam peperiksaan PT3 di SMK Tembila.

Menurutnya, baginya mana-mana sekolah pun tidak ada bezanya kerana paling penting minat dan kemahuan untuk berjaya perlu ada dalam diri pelajar.

“Saya bukan jenis ulat buku dan belajar macam biasa sahaja  malah saya tidak paksa untuk mengulang kaji pelajaran sebaliknya saya lebih memberi perhatian di dalam kelas biasa mahupun kelas tambahan yang diadakan di sekolah sahaja,” kata anak daripada lapan adik beradik itu.

Anis Aqila berkata lagi, bapanya, Mohamad Senik, 69, pengusaha tanaman tembikai di belakang rumah dan ibu, Mek Yah Abd Razak, 55, adalah insan yang banyak mendorongnya untuk berjaya.

Katanya, dia bercita-cita menjadi akauntan dan mahu membantu keluarga.