MARANG - Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Jejulung di kawasan Dun Pengkalan Berangan di sini, adalah satu-satunya sekolah di daerah ini yang mempunyai i-Kelas yang menggunakan proses pembelajaran secara multimedia.  

Majlis perasmian pembelajaran i-Kelas di sekolah itu dihadiri Exco kerajaan negeri, A Latiff Awang yang juga Adun Pengkalan Berangan bagi merasmikan majlis, baru-baru ini.

Terdapat 17 sekolah rendah di negeri ini mempunyai i-Kelas iaitu sebuah sekolah masing-masing di Marang dan Dungun, Setiu (2), Kuala Terengganu (2), Kemaman (3), Hulu Terengganu (3) serta lima sekolah di Besut.

Pelancaran i-Kelas berkenaan adalah sebahagian inisiatif bagi mewujudkan proses pembelajaran dan pengajaran di kelas secara lebih berkesan dan sistematik, seterusnya menyediakan bahan bantu mengajar yang relevan dengan teknologi pada hari ini.

Ia juga dilengkapi penyediaan sumber maklumat dan rujukan untuk pembelajaran dan pengajaran yang boleh dicapai di mana-mana dengan cara mudah serta berkesan.

Melalui kaedah ini, sekolah boleh mencapai penambahbaikan dan prestasi akademi positif sekali gus meningkatkan minat murid untuk belajar dan menjadi berdaya saing, sekali gus melahirkan lebih ramai pelajar pintar.