Menewaskan wakil pemantun dari Besut di peringkat akhir Pesta Pantun Peringkat Negeri

MARANG – Pemantun dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Serating yang mewakili Marang muncul juara Pesta Pantun Peringkat Negeri Terengganu selepas menewaskan wakil pemantun dari Besut di peringkat akhir.

Pengetua SMK Seri Serating, Mohd Tamidi Sidek berkata, beliau berbangga dengan pencapaian pasukan pantun sekolah berkenaan yang mewakili Marang sebanyak tiga tahun berturut-turut iaitu pada 2015, 2016 dan pada tahun ini berjaya bergelar juara peringkat negeri.

Menurutnya, bakat dan kesungguhan ditunjukkan menjadi asas keterbilangan pelajar SMK Seri Serating dalam menuju kemenjadian pelajar yang turut diharapkan akan dapat menjanakan keterbilangan pendidikan Terengganu Terbilang.

“Selari dengan Pendidikan Abad ke-21 dicanangkan Kementerian Pendidikan Malaysia hari ini, kemenjadian pelajar di luar bandar terserlah di dalam melakar Terengganu Terbilang (TTB) melalui pertandingan pantun peringkat negeri kali ini.

“SMK Seri Serating yang berjaya menjadi juara kali ini juga akan mewakili Negeri Terengganu dalam Pesta Pantun Peringkat Kebangsaan 2017 tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata sedemikian selepas berakhir majlis penyampaian hadiah di SMK Seri Serating, di sini.

Peserta dari SMK Seri Serating terdiri daripada Safiah Fatin Nadhira Mohd Abdul Azid, Ahmad Aiman Afiq Ghazali, Wan Nur Shairah Wan Muhammad Sukardi dan Muhammad MarroIkmal Muhammad serta Nor Ahlam Muhammad.

Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Marang, Mohd Adnan Salleh merasmikan majlis penutup dan menyampaikan hadiah pada pertandingan di SMK Seri Serating, di sini.

Sebelum itu, pemantun dari SMK Seri Serating muncul juara pada peringkat daerah selepas menewaskan pemantun dari SMK Seri Payong pada pusingan awal dan menewaskan wakil daripada SMK Tun Telanai di peringkat separuh akhir.

SMK Seri Serating muncul juara selepas menewaskan SMK Merchang di peringkat akhir.

Pada peringkat negeri, SMK Seri Serating mewakili Marang itu menewaskan Kuala Nerus di peringkat suku akhir, Dungun di separuh akhir dan memenangi kejuaraan Pesta Pantun Peringkat Negeri Terengganu selepas menewaskan Besut.

Antara guru yang menjadi tulang belakang kejayaan pemantun SMK Seri Serating ialah Noraini Ali, Mohd Tajudin Mokhtar sebagai mentor dan Abd Aziz Yusof.