SETIU - Kejohanan Sukan Tahunan Sekolah Kebangsaan (SK) Langkap 2018 berlangsung meriah dengan penglibatan pelbagai pihak.

Guru Besarnya, Haimi Satar berkata, pelbagai aktiviti sekolah bersama komuniti diadakan tanpa mengira fahaman politik dalam memastikan usaha melahirkan komuniti sejahtera tercapai.

Menurutnya, kejohanan sukan tahunan pada kali ini lebih meriah bukan sahaja disertai murid tetapi turut diadakan acara untuk komuniti atau ibu bapa murid.

“Bagi kejohanan ini murid-murid mewakili rumah sukan masing-masing iaitu rumah merah, kuning dan biru manakala komuniti kategori terbuka.

“Pelbagai acara menarik diadakan seperti pertandingan motosikal lambat, tarik tali, lari dalam guni, tolak kereta sorong dan banyak lagi,” katanya.

Sementara itu, Naib Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Pelajar SK Langkap, Hazman Yahya berkata, komuniti yang turut terlibat termasuklah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, Gerakan Belia, Rela dan penduduk kampung.

“Program tiga hari itu sangat meriah dan sebenarnya inilah keadaan sebenar kemesraan ibu bapa dan guru di SK Langkap.

“Setiap tahun kita buat macam ini dan sambutan daripada masyarakat sama ada gotong-royong memasak, bersukan dan sebagainya cukup bagus,” katanya.

Seorang ibu murid, Shasrizatuaizan  Mohd Repa’ai, 40, berkata, penglibatan komuniti dalam acara di sekolah membuatkan ibu bapa rasa mereka dihargai kerana diberi peluang menjayakan kejohanan seperti itu.

“Melalui cara ini hubungan di antara guru dan ibu bapa menjadi semakin erat, acara yang diadakan pun membuatkan suasana bertambah ceria,” katanya.