DUNGUN - "Semalam dia ada marah budak-budak nak mandi pantai kerana bimbang lemas, tetapi hari ini dia pula lemas," kata Nur Hanis Aziz, 15 adik kepada remaja yang ditemui lemas di parit kampung Alor Mak Bah, di sini, petang kelmarin.

Mangsa, Mohamad Luqman Aziz, 17 ditemui sudah tidak bernyawa dalam parit dalam keadaan mayatnya tersangkut pada pembentung.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.20 petang itu, mangsa yang juga seorang OKU lembam pembelajaran dipercayai lemas akibat tergelincir dan dihanyutkan arus ketika berada di parit bersama rakan- rakannya.

Nur Hanis berkata, abang sulungnya itu keluar dari rumah mereka di Teluk Lipat kira-kira jam 11.30 pagi dan tidak memaklumkan ke mana hendak pergi.

Menurutnya, berita sedih itu hanya diketahui kira-kira jam 5.45 petang apabila dimaklumkan oleh bapa saudaranya.

“Tiada langsung perkara pelik atau perubahan ditunjukkan sebelum ini.

“Tetapi semalam dia ada marah budak-budak yang nak mandi pantai tidak jauh dari rumah kerana bimbang lemas,” katanya ketika ditemui di perkarangan bilik forensik Hospital Dungun.

Katanya, dia amat sedih dengan musibah itu dan merasa satu kehilangan besar kerana selama ini abangnya itu yang banyak berkorban untuk tiga adik-adiknya.

“Kerana nak menjaga adik-adik dia berhenti sekolah. Memang dia mengalami masalah pembelajaran dan tidak mahu bersekolah kerana mahu mengambil dan menghantar adik-adik ke sekolah.

“Mak kami sudah meninggal dunia dua tahun lalu kerana disyaki dijangkiti penyakit kencing tikus dan sejak itu abang yang banyak menguruskan adik-adik.

“Ketika ayah keluar bekerja memang dialah yang bersama kami,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Kanan Bomba II, Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Mohd Zaiharis Sandar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.33 petang dan bergegas ke lokasi.

“Seramai 10 anggota dikejarkan ke tempat kejadian dan ketika sampai bomba mengenal pasti seorang mangsa lelaki dipercayai lemas.

“Mangsa telah ditemui oleh orang awam dalam keadaan sudah meninggal dunia.

“Mayat mangsa tersangkut di dalam pembetung dan parit tersebut berada dalam kedalaman tiga meter,” katanya.