KAMPUNG GAJAH - Luluh hati apabila seluruh ahli keluarga yang disayang hilang dalam sekelip mata.

Itulah situasi yang perlu dilalui seorang pemuda, Muhammad Badrul Hafiz Mohd Jamil, 22, apabila dia kehilangan kedua ibubapa serta adiknya yang maut dalam kemalangan petang kelmarin.

Muhammad Badrul berkata, dia seperti kehilangan arah tujuan apabila mengetahui kesemua ahli keluarganya meninggal dalam kejadian itu.

“Pada mulanya saya seperti tak percaya bila dapat tahu ayah, mak dan adik terlibat dalam kemalangan.

“Apabila melihat sendiri keadaan kenderaan yang dinaiki mereka di tempat kejadian, barulah saya percaya mereka sudah tidak ada,” katanya ketika ditemui di Kampung Tersusun Balun Bidai di sini, semalam.

Mohd Jamil dan Rohaida

Muhammad Badrul adalah anak sulung kepada pasangan mangsa kemalangan maut yang berlaku di KM 30 Jalan Bota Kanan-Teluk Intan di Kampung Teluk Memali petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.24 petang itu, kereta dinaiki tiga beranak iaitu Mohd Jamil Utok, 46; Rohaida Sidak, 48, dan anak mereka Nor Syarina Mohd Jamil, 19, bertembung dengan sebuah lagi kenderaan mengakibatkan Rohaida dan Nor Syarina maut di tempat kejadian manakala Mohd Jamil disahkan meninggal dunia lima jam kemudian ketika mendapat rawatan di Hospital Teluk Intan.

Akibat kejadian berkenaan, Muhammad Badrul kini tinggal sebatang kara apabila kedua ibu bapanya dan adiknya maut dalam kejadian itu.

Muhammad Badrul berkata, pada mulanya dia amat sukar untuk menerima keadaan itu memandangkan hubungan mereka sekeluarga begitu akrab.

“Pada mulanya saya rasa kosong apabila mendapat tahu mak, ayah dan adik pergi meninggalkan saya seorang diri.

“Keluarga kami agak kecil dan hubungan kami begitu rapat terutama adik perempuan saya itu yang memang menjadi teman rapat serta teman bergaduh.

“Selepas ini semuanya hanya tinggal kenangan sahaja memandangkan mereka sudah pergi meninggalkan saya,” katanya.

NOR SYARINA

 Masih ingat pesan mak

Katanya, ketiga-tiga ahli keluarganya itu tidak menunjukkan sebarang perubahan tingkah laku.

“Pada hari kejadian juga mak tetap berpesan kepada saya seperti hari-hari sebelumnya supaya berhati-hati ketika ke tempat kerja.

“Manakala dengan arwah ayah saya tidak sempat berjumpa pada pagi kejadian kerana dia menghantar adik ke sekolah di Sekolah Menengah Sultan Abdul Jalil Shah, Seberang Perak.

“Pada hari itu ayah dan mak membawa adik ke Teluk Intan untuk membeli kelengkapan sekolahnya yang perlu ditambah,” katanya.

Katanya, dia reda dengan ketentuan itu namun perasaan sedih tak dapat digambarkan dengan kata-kata.

“Saya memang terasa kehilangan mereka memandangkan mereka sahaja ahli keluarga terdekat saya.

“Sekarang di rumah ini masih ada lagi saudara mara kami, selepas ini bila mereka pulang tentu saya rasa sunyi sangat-sangat dan setakat ini saya tidak ada sebarang rancangan sama ada untuk terus tinggal di rumah ini atau berhijrah ke tempat lain,” katanya.

Jenazah tiga beranak itu selamat dikebumikan di tanah perkuburan Masjid Kampung Changkat Ramai dalam satu liang lahad pada jam 11.30 pagi semalam.

MUHAMMAD BADRUL

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, kejadian yang berlaku pada jam 5.24 petang itu melibatkan sebuah Toyota Hilux dengan Perodua Myvi.

Menurutnya, daripada siasatan awal di tempat kejadian dipercayai Toyota Hilux yang dinaiki oleh dua sepupu yang datang dari arah Kampung Gajah menuju ke Teluk Intan telah memasuki laluan bertentangan.

"Pemandu dan penumpang Toyota Hilux yang masing-masing berusia 29 dan 22 tahun mengalami kecederaan di kepala dan dirawat di Hospital Pantai, Ipoh,” katanya.