KUANTAN -  Sekumpulan penyelidik dari Universiti Malaysia Pahang (UMP) berjaya menghasilkan  cecair pembunuh serangga dikenali sebagai ‘Pest Killa’ dan ‘Pisoptera’ iaitu racun anai-anai dihasilkan daripada sisa tandan kelapa sawit yang  mesra alam.

Ketua projek,  Abdul Syukor Abd Razak berkata, pada pertandingan itu UMP turut menerima anugerah permata kategori sistem bersepadu mesra alam sisa domestik bagi olahan air sisa industri menggunakan tumbuhan (Phytogreen).

Menurutnya, produk mesra alam dihasilkan daripada bahan terbuang itu  tidak memberi kesan kepada manusia serta haiwan.

“Produk ini  memberi  kemenangan kepada penyelidik apabila membawa pulang tujuh pingat emas dan empat anugerah khas pada Pertandingan Rekacipta British (BIS) London, baru-baru ini.

“Produk Pest Killa dan Pisoptera turut meraih anugerah khas platinum dan anugerah khas berganda sekali gus meletakkan UMP antara pasukan terbaik pada pertandingan itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Abdul Syukor berkata, pencapaian di London dianggap yang terbaik tahun ini apabila berjaya membawa pulang tujuh  pingat bersama empat anugerah khas dan anugerah permata disediakan penganjur.

“Usaha UMP menghasilkan produk mesra alam lebih 10 tahun lalu berjaya mencetuskan pelbagai kejayaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Abdul Syukor berkata, sebelum ini syarikat UMP Eco Pest Sdn Bhd memenangi dua pingat emas selain meraih anugerah khas juri pada Pertandingan Rekacipta Antarabangsa Warsaw (IWIS) 2016 di Poland membabitkan projek sama.

“Sepanjang tahun ini pihak kami sudah menyertai enam pertandingan peringkat kebangsaan dan antarabangsa yang meraih kejayaan membanggakan.

“UMP melalui syarikat UMP Eco Pest menghasilkan Pisoptera dan Pest Killa beroperasi di Gambang, di sini, dengan menggunakan 20 pekerja di lapangan dan pentadbiran.

“Sokongan pengurusan UMP menambahkan lagi kesungguhan saya dan penuntut menghasilkan lebih banyak produk selain memperluaskan pasaran produk sedia ada,” katanya

Katanya, penyertaan pada pertandingan peringkat antarabangsa memberi peluang kepadanya memperkenalkan produk dihasilkan kepada syarikat di beberapa negara.