CHEMOR - Seramai 4,000 murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang terpilih sekitar Parlimen Tambun menerima angpau sempena Tahun Baharu Cina.

Sumbangan itu disampaikan Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah ditemani isterinya, Datin Seri Fauziah Kamarudin di SJKC Poi Lam, Chemor baru-baru ini.

Antara sekolah-sekolah terlibat adalah SJKC Kuala Kuang, SJKC  Pei Cheng, SJKC Poi Lam, SJKC Chong Hwa, SJKC Tanah Hitam,SJKC Changkat Kinding, SJKC Tanjung Rambutan dan SJKC Hing Hwa.

Menurut Ahmad Husni, pemberian angpau kepada murid sekolah ini untuk menceriakan mereka sempena menyambut tahun baharu sekali gus meningkatkan semangat untuk belajar bersungguh-sungguh.

Sementara itu, Penolong Kanan Pentadbiran sekolah berkenaan, Tai Wei Lin berkata, kehadiran Ahmad Husni ke sekolah ini menunjukkan beliau sebagai wakil rakyat yang prihatin terhadap pendidikan di kawasan seliaannya.

Wei Lin mengakui Ahmad Husni banyak membantu pihak sekolah sehingga mereka berpindah ke lokasi baharu ini malah inisiatifnya memberikan angpau meningkatkan perhubungan yang lebih mesra.

“Melaluinya, kita belajar budaya orang lain yang mana tulisan pada sampul angpau yang bermaksud kebahagiaan, kesihatan serta panjang umur akan dinikmati oleh pemberi dan penerima.

“Penerima angpau perlu menyimpan sebahagian daripadanya supaya mendapat tuah di sepanjang tahun tersebut selain mendidik kanak-kanak untuk menabung sejak kecil lagi,” katanya.