KUALA TERENGGANU - Berbaloi. Itu gambaran tepat yang dapat diberikan kepada pelajar tingkatan satu dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Rakit Mengabang Lekor, Terengganu.

Memenangi johan kategori syair bagi Pertandingan Karnival Bahasa Melayu (Syair, Sajak, Pidato) Peringkat Daerah Kuala Nerus, Terengganu bagaikan mimpi buat gadis kecil molek ini.

Dia seolah-olah tidak percaya dengan kemenangan tersebut, namun benarlah kata pepatah 'tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa tahu'.

Nur Amalyna Afifi

Adik Nur Amalyna Afifi Arif yang menyampaikan syair bertajuk Kemangkatan Sultan Sulaiman (irama mayang) berkata, latihan demi latihan dilakukan demi memastikan diri mampu bersyair ketika berada di pentas pertandingan.

"Cikgu dan kawan-kawan banyak beri tunjuk ajar dan bantu saya jika berdepan masalah.

"Alhamdulillah, kejayaan ini adalah kejayaan buat semua," katanya.

Sementara itu, Guru Perpustakaan dan Media, Marzura Razak berkata, Amalyna sememangnya mempunyai bakat semula jadi dalam bersyair.

"Saya berharap Amalyna akan terus membuat latihan dan lebih berkeyakinan kelak.

"Pelajari lagi pelbagai kemahiran penyampaian syair dengan lebih baik untuk ke pertandingan yang lagi besar," katanya.

 Nur Amalyna Afifi (dua kiri) bersama pemenang yang menyertai pertandingan anjuran PPD Kuala Nerus.

Sebanyak 11 sekolah menengah di Kuala Nerus menyertai Pertandingan Karnival Bahasa Melayu (Syair, Sajak, Pidato) Peringkat Daerah Kuala Nerus.

Dianjurkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Nerus, pertandingan telah diadakan pada 17 April lalu, bermula 8 pagi hingga 1 tengah hari di SMK Bukit Tunggal.

Pertandingan tahunan itu membabitkan peserta tingkatan satu dan juri yang menilai terdiri daripada guru Bahasa Melayu di Kuala Nerus.

Objektif pertandingan adalah mencungkil bakat pelajar dan seterusnya mencari bakat baharu utk dipertandingkan ke peringkat negeri nanti.