PUTRAJAYA - Di sebalik laporan mengenai pelbagai kes disiplin dan isu pelajar bermasalah, kadar gejala jenayah melibatkan murid masih di tahap rendah serta terkawal.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, daripada lebih lima juta murid yang berada di 10,200 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara, hanya kira-kira 1,000 pelajar atau kurang daripada satu peratus terlibat dalam gejala sosial dan perlakuan jenayah.

“Berdasarkan nisbah keseluruhan murid, ia masih terkawal dan segala tindakan dilakukan termasuk mewujudkan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) hanyalah untuk memperbaiki keadaan,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Seminar Permuafakatan Pembangunan Nilai dan Sahsiah Murid oleh Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid di sini, semalam.

Mohamad Fuzi ketika sidang media selepas majlis perasmian Seminar Permuafakatan Pembangunan Nilai dan Sahsiah Murid anjuran KPM, semalam.
 

Mohamad Fuzi berkata, keupayaan membendung masalah sosial dan salah laku jenayah dalam kalangan murid itu terhasil melalui kerjasama rapat antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Pendidikan.

Beliau turut mengingatkan pihak sekolah tidak menyembunyikan sebarang bentuk salah laku disiplin demi menjaga nama baik sekolah supaya polis melalui PPS dapat mengambil langkah sewajarnya.

Bagi memantapkan lagi langkah mengekang masalah disiplin, jenayah, buli dan gengsterisme di sekolah, Mohamad Fuzi berkata, PDRM merancang menempatkan PPS di semua sekolah seluruh negara pada masa depan.

Timbalan Pengarah (Perancangan Strategik) PDRM, Datuk Fatimah Abdul Hamid bersama ibu bapa dan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Pandan Kuala Lumpur selepas Seminar
Permuafakatan Pembangunan Nilai dan Sahsiah Murid anjuran KPM, semalam.

"Ekoran kekangan keanggotaan, PPS tidak mampu memberi tumpuan sepenuhnya kepada setiap sekolah sebaliknya hanya menumpukan kepada 402 sekolah dalam kategori hotspot dan sekolah tertentu yang dikenal pasti mempunyai kes salah laku dan masalah disiplin," katanya.

PPS melibatkan seorang pegawai dan anggota lain-lain pangkat diwujudkan bertujuan memantau keselamatan dan disiplin murid, selain turut menjadi mekanisme dalam mengekalkan komunikasi berterusan antara PDRM dan sekolah, selain menyusun langkah terbaik dalam menangani masalah disiplin di sekolah di bawah seliaan masing-masing.

Mahdzir dan Mohamad Fuzi bersama peserta Seminar Permuafakatan Pembangunan Nilai dan Sahsiah Murid selepas merasmikan seminar anjuran KPM, semalam.

Sementara itu, Mahdzir berkata, kerjasama antara Kementerian Pendidikan dan PDRM menyaksikan beberapa program menangani salah laku disiplin murid dilaksanakan, antaranya
Program Remaja Berwawasan melibatkan 29,200 murid, Kelab Pencegahan Jenayah yang disertai 33,113 pelajar daripada 5,865 sekolah.

Katanya, pendekatan PDRM melalui PPS membantu memupuk kesedaran berkaitan perlakuan jenayah dalam kalangan murid, sekali gus berupaya meningkatkan sahsiah golongan itu.