Kota Tinggi - Dikenal sebagai Abang Long dalam kalangan guru dan murid, Cikgu Zaini Ibrahim, 50, berusaha gigih melaksanakan projek fertigasi untuk memberi kemahiran tambahan kepada murid kelas pendidikan khas Sekolah Kebangsaan (SK) Laksamana.

Bermula secara kecil-kecilan pada 2015, projek feritigasi di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang diusahakan bersama rakan strategik Kulim, banyak memberi kemahiran kepada anak muridnya yang kurang upaya pendengaran.

Cikgu Zaini bersama murid bermasalah pendengaran kesayangannya.

Cikgu Zaini yang merupakan guru penyelaras projek fertigasi berkata, seramai 18 murid pendidikan khas SK Laksamana terbabit dalam projek ini.

"Mereka akan didedahkan dalam setiap proses penanaman bermula menyemai, menanam dan menjaga anak benih sehinggalah mengeluarkan hasil.

"Lebih menarik, mereka juga diberi pendedahan mengenai urusan jual beli dan merekodkan hasil tanaman," katanya yang juga guru subjek Reka Bentuk dan Teknologi.

Murid pendidikan khas masalah pendengaran ini bertungkus-lumus membantu rakan membersihkan tapak semaian.

Dua murid ini seronok dapat melakukan kerja pertanian.

Beliau tidak berseorangan dalam projek itu kerana turut dibantu seorang lagi guru yang mengajar subjek sama, iaitu Cikgu Muhammad Faris Jaafar.

Kata Cikgu Zaini, projek berkeluasan 15 x 100 kaki persegi itu ditanam cili padi, cili besar, timun dan kubis

Beliau berkata, projek itu bermula pada 2015 dan disokong penuh Guru Besar Bibi Sakinah Haron Khan.

"Bermula tahun lepas rakan strategi projek ini makin bertambah dengan penyertaan Johor Corporation dan ahli perniagaan lain," katanya.

Katanya, secara purata hasil pendapatan daripada projek itu berjumlah RM300 untuk sekali masa tuaian.

Kebun fertigasi yang telah siap dibersihkan.

 Murid ini menunjukkan pokok betik yang telah membuahkan hasil.

Bibi Sakinah berkata, projek itu memberi pendedahan yang betul-betul realistik kepada murid.

"Murid pendidikan khas sekolah ini sangat bertuah kerana mempunyai guru seperti Cikgu Zaini yang sangat komited serta minat dalam pertanian.

"Bagi membantu Cikgu Zaini melaksanakan projek ini, dua guru baharu iaitu, Cikgu Rafidah Serat dan Cikgu Aiza Mohd Noh diminta terbabit dalam projek ini," katanya.

Bibi Sakinah dam Cikgu Zaini (kiri) di tapak penanaman.

Menurut beliau, wang hasil tuaian diberikan semula kepada murid dengan membeli kelengkapan bagi kelas pendidikan khas.

"Baru-baru ini Cikgu Zaini, menyediakan sehelai baju T untuk setiap murid pendidikan khas ini, dengan menggunakan wang yang diperoleh daripada hasil tuaian," katanya.

Lebih menarik katanya, murid ini sudah mula mahir dan boleh mengusahakan sendiri tanaman mereka.

Pokok pisang dan betik yang turut ditanam di pekarangan sekolah.

Murid ini menunjukkan timun yang mula membuahkan hasil.

 

 

Timun yang siap untuk dipasarkan.

Dua murid ini seronok dapat memetik cili yang diusahakan sendiri.

Dua murid ini teruja menunjukkan pisang yang mereka usahakan.