PEMAIN skuasy remaja kebangsaan, Aifa Azman bertekad mencipta lebih banyak kejayaan musim ini selepas membuka tirai 2018 dengan langkah kanan apabila muncul juara di Kejohanan Skuasy Terbuka Remaja British (BJO) 2018.

Aifa yang menghadiahkan kemenangan paling tidak diduga apabila mengalahkan pilihan pertama dari Amerika Syarikat, Marina Stefanoni 11-7, 11-5, 11-9 untuk dinobat juara bawah 17 berkata, gelaran juara tersebut menjadikannya lebih yakin bagi menghadapi kejohanan selepas ini.

“Saya sangat gembira dan lebih berinspirasi. Kejohanan ini sangat bermakna bagi saya, selain gelaran ketiga saya dalam kejohanan ini.

“Selepas ini, sudah pasti saya akan lebih bersemangat dan kejayaan ini dapat meningkatkan lagi keyakinan saya pada masa akan datang,” kata Aifa yang turut memenangi dua gelaran sebelum ini pada 2014 dan 2016, masing-masing dalam kategori B-13 dan B-15.

Selain kejayaan diraih Aifa, skuad Malaysia turut memenangi tiga lagi kategori pada kejohanan tersebut menerusi adiknya, Aira yang muncul juara kategori B-15, selain K Sehveetrraa dalam kategori B-13 dan S Sivasangari kategori B-19.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan CIMB, Datuk Hamidah Naziadin bangga dengan kejayaan pemain remaja negara yang mencipta sejarah pada kejohanan tersebut.

“Saya sangat bangga melihat lima atlet yang mendapat sokongan Yayasan CIMB meraih empat pingat emas dan satu gangsa pada BJO 2018. Pencapaian mereka hasil disiplin dan tekad beraksi dan menyerlah di peringkat antarabangsa.

“Saya yakin permulaan yang cemerlang pada awal tahun ini mendorong mereka meraih tahap lebih tinggi pada 2018,” katanya.