KUALA LUMPUR – Pasukan Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) bawah 14 tahun (B-14) menamatkan saingan Jelajah Eropah pada 12 Jun lalu dengan kejayaan menjuarai dua kejohanan antarabangsa di Belanda dan Jerman dan berjaya menarik perhatian pencari bakat di Eropah.

Ketua Pegawai Eksekutif Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Safirul Azli Abu Bakar berkata, kejayaan tersebut adalah hasil pelaksanaan pelan jangka masa panjang program yang bermula sejak di peringkat Akademi Tunas.

“Ini generasi ketiga skuad elit AMD, pelatih-pelatih skuad AMD B-14 ini berada di dalam sistem NFDP sejak mereka berumur 10 tahun, berlatih di Akademi Tunas di seluruh negara.

"Pencapaian itu membuktikan kaedah latihan di Akademi Tunas NFDP jika dilakukan dengan sebaik mungkin, akan dapat melahirkan pemain bertaraf dunia,” katanya.

AMD B-14 telah mengharungi 22 perlawanan di sepanjang jelajah tersebut bermula dari 15 Mei dan muncul sebagai juara Kejohanan Whitsun di Jerman dan juara Kejohanan Vogido di Belanda selain meraih tempat ke-10 dalam Kejohanan Human Elite Cup di Perancis.

Namun, Safirul menegaskan bahawa hasil sebenar skuad tersebut hanya dapat dilihat pada masa 4-5 tahun yang akan datang.

“Pelatih masih lagi di peringkat pembelajaran dan menjalani proses pendedahan secara berterusan. NFDP akan terus memberikan pendedahan seumpamanya terhadap skuad  elit AMD agar lebih banyak perkara dapat dipelajari oleh pelatih. Kerja-kerja pembangunan di peringkat Akademi Tunas adalah amat kritikal bagi memastikan teknik asas bola sepak yang baik dikuasai pelatih sebelum disaring dan dibawa ke AMD untuk digilap”, ujarnya.

Pemain  Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari Bawah 14 Tahun bergambar bersama piala yang telah dimenangi sepanjang Jelajah Eropah 2018.

Safirul berkata, segelintir pemain AMD B14 & B-15 kita telahpun menjalani tempoh percubaan bersama akademi AZ Alkmaar (Belanda) ketika berada di Belanda. 

"Tidak ketinggalan, tiga pelatih AMD bawah 13 tahun juga telah mendapat undangan untuk mewakili akademi ternama di Perancis iaitu Paris-Saint Germain dalam satu kejohanan di Rome Jun lalu.

"Pihak kami juga turut dihubungi Kelab Belanda, Ajax Amsterdam mengenai pemain kita. Ini satu pengiktirafan buat bakat tempatan dan harus diteruskan.. yang paling penting pemain kita harus berada dalam sistem pemantauan pencari bakat ini,” katanya.

Skuad AMD B-14 berlepas ke Belanda pada 15 Mei lalu, bersama skuad AMD B-15 yang telah pun pulang ke tanah air lebih awal selepas mengharungi pendedahan antarabangsa di Jerman dan Belanda.