SABAK BERNAM - Atlet sukan angkat berat paralimpik, Siti Nuraisyah Shahrin, 14, atau lebih mesra dipanggil Ecah berjaya meraih pingat perak pada Kejohanan Powelifting Sirkit 2 Kebangsaan di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan, Kuala Lumpur, di sini semalam.

Kejayaannya dalam kategori 55 kilogram (kg) itu sekali gus memperbaiki pencapaiannya dalam kejohanan sama Mac lalu yang menyaksikannya memperoleh pingat gangsa.

“Alhamdulillah, saya berjaya mendakap pingat perak pada penyertaan kali ini. Ini kali ketiga saya menyertai kejohanan powelifting sirkit kebangsaan,” katanya.

Ecah yang putus kedua-dua kakinya akibat kemalangan jalan raya tahun lalu berkata, dia berjaya membuat angkatan terbaik seberat 41 kg.

Ecah yang mewakili Selangor pada kejohanan itu, berkata, pada pusingan pertama dia hanya berjaya mengangkat beban seberat 35 kg dam 41 kg pula pada pusingan kedua.

“Sebenarnya saya berjaya membuat angkatan seberat 45 kg pada pusingan ketiga, namun angkatan itu tidak dikira juri dari segi teknikal kerana dikatakan senget sedikit. Kalau tidak, kedudukan saya mungkin berubah,” katanya.

Pelajar Tingkatan 2 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Terap berkata, dia berasa gembira dengan pencapaiannya setakat ini malah bertekad untuk meraih kejayaan yang lebih baik termasuk pada Sukan Para Asean September depan.

Sementara itu, bapa tiri Ecah, Roslan Sardi, 41, berkata, dia bersama isterinya, Maimunah Md Razalli, 48, berasa gembira dengan pencapaian konsisten Ecah mendapat pingat dalam setiap kejohanan disertainya.

“Kami akan terus memberi sokongan dan dorongan untuk Ecah berjaya dalam sukan ini.

“Malah, kami yakin dengan sokongan padu semua pihak di samping bimbingan dan latihan berterusan, Ecah mampu meraih kejayaan lebih cemerlang pada masa hadapan,” katanya.