BATU PAHAT - Seramai 52 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Gading bertuah kerana dapat  belajar cara bermain kompang dengan betul daripada penuntut Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), di sini.

Jangan terkejut, walaupun penuntut universiti itu sebelumnya sinonim dengan bakal jurutera memandangkan setiap tahun melahirkan lebih 2,000 graduan  aliran berkenaan tetapi mereka punya ilmu dalam bermain kompang.

Hakikatnya, mahasiswa universiti itu serba boleh, dan salah satu bidang yang diterapkan adalah kebudayaan yang turut dikongsi dengan masyarakat setempat.

Tenaga Pengajar Kursus Kompang dan Gendang Budaya, Mohd Nizam Talib berkata, setiap semester sebahagian penuntut akan mengikuti Kursus Kompang dan Gendang Budaya, seterusnya mengaplikasikannya bersama masyarakat.

“Tujuan aktiviti ini untuk memperkenalkan pelbagai alat muzik gendang dan kompang yang biasa digunakan dalam sesebuah majlis atau persembahan tradisional.

“Penuntut berkongsi cara bermain dan paluan yang betul. Jika berkesempatan mereka akan mengadakan persembahan secara bersama,” katanya ketika ditemui ketika program Rentak Budaya di Dewan SMK Sri Gading.

Sementara itu, Pengarah Program Rentak Budaya, Ahmad Wafri Ahmad Wardi berkata, sebagai peserta kursus, dia dapat menimba ilmu baharu berkaitan kompang dan gendang.

Katanya, antara yang tidak diketahui sebelum ini adalah bermain ‘Kompang Johor’ yang memerlukan pakaian sesuai iaitu berbaju teluk belanga, bersampin dagang luar dan bercapal.

“Ia juga secara tidak langsung menyemai semangat patriotik dalam mempertahankan seni persembahan dan kebudayaan Melayu.

“Bermain kompang juga dapat memupuk semangat kerjasama dan permuafakatan yang tinggi kerana persembahan kompang serta gendang ini perlu bergerak dalam satu kumpulan, bukannya secara sendirian,” katanya.