JOHOR BAHRU – Warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tan Sri Mohamed Rahmat, Kempas di sini berharap dapat mengumpul lebih RM200,000 bagi membaiki bumbung sekolah itu yang rosak akibat dilanda ribut, 15 Jun lalu.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah, Mohd Ridhwan Othman berkata pihaknya menyasarkan pungutan itu dalam tempoh sebulan menerusi Tabung Prihatin sekolah yang dilancarkan semalam.

Dalam kejadian ribut jam 5.10 petang itu, bumbung tiga blok bangunan sekolah itu mengalami kerosakan dan diterbangkan angin mengakibatkan lapan kelas yang rata-rata menempatkan pelajar tingkatan 3 dan juga merupakan dewan peperiksaan bagi SPM, terjejas.

“Sehingga kini bumbung tersebut masih belum dibaiki kerana tak ada peruntukan.

“Sebab itulah kami mengambil inisiatif untuk melancarkan tabung ini bagi membaik pulih kerosakan bumbung dan kelas yang terjejast,” katanya selepas pelancaran tabung dan sambutan Aidilfitri di sekolah berkenaan.

\

 Abd Rashid (dua, kiri) bersama Mohd Ridhwan (dua, kanan) meninjau bumbung yang dilanda ribut.

Pelancaran tabung disempurnakan oleh setiausaha kepada Ahli Parlimen Pulai, Datuk Abd Rashid Kasman yang akan menggerakkan tabung berkenaan bagi menyegerakan proses baik pulih.

Mohd Ridhwan berkata, pihaknya akan menggerakkan tabung tersebut serta merta bagi mengutip derma daripada masyarakat setempat termasuk badan korporat dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Berdasarkan penilaian awal, kita memerlukan kira-kira RM200,000 bagi membaiki semua kerosakan yang berlaku.

“Justeru, kami berharap kerosakan tersebut dapat diatasi segera bagi memberi keselesaan kepada pelajar yang akan mengambil Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) tidak lama lagi dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang telah berlangsung secara berperingkat ketika ini,” katanya.

Sekolah berkenaan menempatkan 1,446 pelajar dari tingkatan 1 hingga 5 dan juga beroperasi dua sesi, pagi dan petang.