SSNS SMK Za’ba kekal momentum kejayaan 2017, pencapaian dalam pelbagai bidang sukan

KUALA PILAH – Sepanjang lakaran tahun 2017 atlet Sekolah Sukan Negeri Sembilan (SSNS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Za’ba mencipta pelbagai kejayaan membanggakan bermula di peringkat negeri, kebangsaan sehingga antarabangsa.

Nur Nabila (kiri) menerima anugerah olahragawati 2017 di dewan pendeta SSNS SMK Za’ba.
 

Pengetuanya, Roslin Balia berkata, kejayaan ini dapat dicapai kerana kerjasama berpasukan yang dilakukan oleh guru-guru dan jurulatih yang bekerja tidak mengira masa bagi mengecapi kegemilangan ini.

Pengiktirafan yang diberi mengikut kejayaan dipelbagai kategori dan peringkat antaranya, peringkat liga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), peringkat Majlis Sukan Negara dan Persatuan Peringkat Kebangsaan, kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM), selain Piala Gothia di peringkat antarabangsa.

Atlet SSNS SMK Za’ba cipta kejayaan dalam acara olahraga.

 

“Berdasarkan keseluruhan semua pasukan mencipta kejayaan dalam peringkat liga KPM termasuk pasukan olahraga, bola sepak wanita, hoki, bola jaring dan sepak takraw.

“Pasukan yang berjaya ialah pasukan memanah dan bola sepak lelaki. Pasukan ini mewakili Malaysia serta menduduki tempat ketiga dalam pertandingan Piala Gothia di Sweden yang melibatkan pasukan dari seluruh dunia,” katanya.

Jelas beliau, kejayaan ini dicipta menerusi rentetan kejayaan mendapat tempat ketiga di kejohanan Piala Nike di Chengmai sempena kejohanan Piala Nike Champion of South Asia.

“Kejayaan tersebut telah mencipta sejarah di mana pelajar Muhammmad Haritz Rifaee Mohd Khairol Rizal tersenarai dalam program mencari Ramli, sekali gus membanggakan kegemilangan SSNS SMK Za'ba bagi sepanjang tahun ini.

“Manakala pelajar Nur Auni Damia Mohd Suparman dianugerahkan sebagai atlet harapan perempuan dari pasukan olahraga, atlet harapan lelaki pula disandang oleh Hafiz Ikwan Hazly dari pasukan bola sepak,” katanya.

Dalam pada itu, tahun 2017, olahragawan disandang oleh Muhammad Afiq Azi dari pasukan olahraga dan Nur Nabila Mohd Rosli dinobatkan sebagai olahragawati 2017.