Shah Alam - Lukisan dinding atau lebih dikenal sebagai mural adalah seni yang dilukis dengan penuh kreatif dan mempunyai maksud tersurat dan tersirat.

Guru Kanan Mata Pelajaran Teknik Vokasional, Mohamad Khamidon Sadi antara guru yang aktif dalam melukis mural di sekolah.

Guru yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 16 sudah melukis lebih 20 mural di sekolah itu.

 

Cikgu Mohamad Khamidon

 

“Saya mula awal tahun 2000 dan pada 2014, saya mula mengorak langkah kerana sekolah ini antara sekolah tertua di Shah Alam dan saya fikir sekiranya tidak lakukan sesuatu maka sekolah akan kelihatan buruk.

“Jadi guna usaha dan kebolehan yang ada, saya hasilkan mural dan tahun ni  saya berazam untuk ubah prasarana sekolah supaya ia jadi suatu tempat yang cantik,” katanya.

Menarik bukan? Guru-guru yang ingin melukis mural di sekolah masing-masing boleh mengikuti tips yang dilakukan guru ini untuk menghasilkan mural menarik.

 

Mural bertemakan Negaraku Satu Malaysia mendapat naib johan dalam pertandingan anjuran Kementerian Pendidikan yang disertai sekolah ini.

 

Ini tip yang dikongsikan Cikgu Khamidon untuk menghasilkan mural yang cantik:

1) Mencari idea dengan melihat di internet tetapi jangan tiru idea orang lain tau!

2) Melakar apa yang kita mahukan atas kertas terlebih dahulu.

3) Melihat saiz dinding sekolah adakah bersesuaian dan juga bergantung kepada lokasi.

4) Setelah selesai memikirkan idea dan lokasi, barulah cikgu boleh melukis mural.

Mudahkan tetapi semestinya mengambil masa untuk disiapkan dan perlukan kesabaran yang tinggi.

Cikgu Khamidon turut berkongsi cabaran yang perlu dihadapi oleh guru yang ingin memulakan aktiviti ini. Ini kongsinya:

1) Jiwa kena kental kerana memerlukan pengorbanan masa, tenaga dan wang.

2) Abaikan unsur negatif yang cuba menjatuhkan semangat kita.

3) Sentiasa berfikiran positif.

4) Nikmati apa yang kita lakukan dan apabila kita gembira maka lukisan yang dihasilkan pastinya memberi kepuasan kepada diri.

5) Wujudkan satu kumpulan mural dalam kalangan guru dan murid untuk memudahkan kerja.

Kepada guru yang berminat menghasilkan lukisan mural ini boleh mengajak pelajar untuk turut sama mencantikkan kawasan sekolah.

Sekolah dengan persekitaran cantik pastinya menambah semangat pelajar untuk datang ke sekolah.

 

Cikgu Khamidon bersama salah satu karya yang dihasilkannya iaitu Batu Bersurat.

 

Salah seorang pelajar bergambar di hadapan mural yang dihasilkan.

 

Lukisan mural 3D yang dihasilkan guru dan pelajar.