MUADZAM SHAH - Kejohanan Olahraga Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Ridan Kali Ke-22 yang berlangsung baru-baru ini disertai empat buah rumah sukan dan melibatkan seramai 400 murid.

Rumah Hijau, Rumah Kuning, Rumah Biru dan Rumah Merah bersaing sengit untuk merebut gelaran juara keseluruhan.

Kejohanan menyaksikan Rumah Merah sekali lagi berjaya mengekalkan gelaran juara keseluruhan dengan mengetepikan impian besar Rumah Biru yang sekadar berpuas hati di tangga kedua.

Perarakan Rumah Merah yang juga selaku juara kejohanan.


Rumah Hijau di tempat ketiga dan Rumah Kuning di tempat tercorot.

Kejohanan tersebut dirasmikan Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Profesor Dr Bakhtiar Al-Razi turut dihadiri ibu bapa untuk menyaksikan kelincahan anak mereka bertanding.

Pegawai Teknikal Kejohanan, Muhammad Fahmi Muhammad Ramli berkata, kejohanan sukan olahraga merupakan kemuncak acara sukan dan sememangnya dinanti-nantikan semua murid kerana ia sebagai medan memperagakan bakat.

“Meskipun kejohanan ini saban tahun diadakan, namun kali ini ia sangat bermakna sekali kerana begitu ramai golongan ibu bapa dan AJK PIBG yang sama-sama memeriahkan acara.

“Lebih menarik ialah apabila ibu bapa sendiri memberikan sambutan baik dalam acara sampingan untuk mereka sertai sekali gus membuktikan bahawa acara-acara yang diadakan pihak sekolah sentiasa disokong kuat,” katanya.

Menurutnya, sambutan hangat itu merupakan perkembangan yang amat positif dalam membentuk kerjasama erat antara pihak guru dengan ibu bapa.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk menzahirkan ucapan terima kasih atas kerja kuat para guru sehingga mampu menyempurnakan kejohanan dengan lancar sekali.

“Saya amat bangga apabila menyaksikan para guru, murid dan ibu bapa bersama dalam menjayakan kejohanan ini dan ia suatu gambaran seolah-olah kami semua adalah dalam sebuah ‘keluarga besar,” katanya.

Sementara itu, murid Tahun Enam, Muhammad Irfan Hairulanuar yang juga Ketua Rumah Biru berkata, kejohanan sukan olahraga adalah peluang buat dirinya dan rakan-rakan menunjukkan potensi bakat.

Meskipun hasrat rumah sukannya untuk meraih gelaran juara namun dihampakan oleh Rumah Merah.

“Saya tetap berbangga dan berpuas hati dengan kecekalan dan komitmen semua ahli Rumah Biru yang sedikit pun tidak kecewa.

“Gelaran selaku naib juara akan dijadikan azimat buat kami menjulang Piala Juara Kejohanan pada kejohanan tahun depan, Insya-ALLAH,” katanya.












  1.