WALAUPUN masih setahun jagung usianya, namun seorang remaja dari Kedah sudah berjaya mencipta nama dalam arena boling.

Bermula dengan menemani ahli keluarga berlatih dan bermain boling, kini bakat Muhammad Fareez Mohd Yusoff, 17, menyinar apabila mewakili di pelbagai pertandingan.

Fareez berkata, dia terlibat dalam boling sejak berusia 8 tahun apabila mengikuti abangnya yang turut terlibat dalam pasukan boling negeri.  

“Saya ikut ayah, mak, kakak dan abang bermain boling sejak kecil. Setiap kali bermain, saya rasa seronok sebelum lama-kelamaan jatuh cinta dalam bidang ini

“Alhamdulillah, kini saya bergelar atlet dan bercita-cita menjadi pemain boling Kebangsaan suatu hari nanti,” kata pelajar Tingkatan Lima Kolej Sultan Abdul Hamid (SAHC) itu.

Dapat pengalaman manis

Kata yang mesra dipanggil Fareez, dia menimba banyak pengalaman berharga dan tidak boleh dilupakan sepanjang melibatkan diri dalam bidang itu.

Menurutnya, dia tidak dapat melupakan kenangan manis apabila dinobatkan Olahragawan Boling MSSM 2017 tahun lalu.

Kata anak kepada pasangan Mohd Yusoff Dahlan dan Che’ Puan Jusoh, dia juga berjaya meraih 4 pingat emas dan 1 pingat perak dalam boling tenpin MSSM 2017 di Aman Bowl, Aman Central itu.

Lebih menggembirakan, katanya, dia mencipta rekod baru kejohanan dengan jumlah jatuhan pin 2749 pin dan berjaya memecah monopoli Selangor selama 12 tahun bagi kategori lelaki  Masters bawah 15 tahun.  

“Pada mulanya, saya tidak menyangka dengan kemenangan ini, kerana pencapaian pada 2016 kurang memberangsangkan. Alhamdulillah, saya dapat menebus kekecewaan sebelum ini, katanya.

Kerap berlatih

Anak bongsu tiga adik beradik itu berkata, kemenangan dicapai hasil latihan setiap minggu.

“Saya akan berlatih sendirian bermain boling empat ke lima kali seminggu ketika waktu lapang pada waktu malam ditemani ayah,” katanya.

Fareez berkata, dia akan berlatih dengan rakan lain secara berkumpulan pada hari biasa, iaitu Isnin.

“Lagi, kerap berlatih, lagi kita tahu cara baling boling betul. Kadang-kala, kita tidak nampak kesalahan diri ketika bermain,” katanya.

Katanya, bagaimanapun, dengan adanya teguran orang lain mengenai teknik balingan, cara berdiri dan kedudukan, maka kita mampu meningkatkan kemahiran.

Menurutnya, kini dia mampu tersenyum bangga apabila mampu membuat jatuhan sempurna 300 pin setiap kali latihan ataupun pertandingan.

Sokongan padu ibu bapa

Menurut Fareez, jikalau ada segelintir ibu bapa tidak memberi sokongan terhadap minat mendalam anak masing-masing dalam sukan.

“Bagaimanapun, keluarga saya berbeza kerana ahli keluarga terutamanya ibu bapa tidak pernah lekang memberi sokongan terhadap minat saya untuk bersukan,” katanya.

Katanya, keluarganya tidak pernah melepaskan peluang menghadiri semua pertandingan boling disertai samada sekolah, daerah ataupun negeri.

Fareez berkata, doa dan sokongan ibu bapa memberi semangat kepada dirinya untuk menempa lebih banyak kejayaan, sekaligus mengharumkan nama sekolah.

Fareez mampu melakukan jatuhan pin sempurna, 300 setiap kali pertandingan.

 

Sasar emas Sukma 2018

Fareez berkata, dia meletakkan sasaran untuk memenangi pingat emas dalam acara Sukma 2018 di Perak yang bakal berlangsung nanti.

“Walaupun aktif bersukan dan akan menduduki peperiksaan penting, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, bagaimanapun ia tidak akan menjadi untuk berjaya dalam kedua-dua bidang,” katanya.

Katanya, dia yakin mampu membahagikan masa dengan baik untuk mengulang kaji pelajaran dan berlatih bermain boling demi menghadapi dua hari bersejarah itu.

“Dahulu, saya juga mengambil PT3 dan mengambil bahagian dalam acara boling di Sukma Sarawak. Alhamdullilah, saya mampu buat yang terbaik untuk keduanya,” katanya.

Kata bekas pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Pegawai itu, dia menjadikan pemain muda, Muhd Rafiq Ismail sebagai idola, dan berharap suatu hari nanti berdiri sebaris pemuda itu.

SAHC bangga dengan Fareez

Sementara itu, Penolong Kanan Kokurikulum SAHC, Jaya Suria Saffar berkata, seluruh warga sekolah berkenaan berbangga pencapaian Fareez.

Katanya, pelajar tingkatan lima itu  mengharumkan nama sekolah di semua peringkat dari Kota Setar hingga Kedah.

“Boling antara sukan ditawarkan di bawah Program Satu Murid Satu Sukan. Jadi, kita memberi sokongan kepadanya terhadap bidang sukan dicintai,” katanya.

Kata beliau, pihak sekolah menggalakkan penglibatan pelajar dalam bidang sukan sehingga peringkat tertinggi mampu dicapai.