PEMAIN pilihan keempat Muhd Fayyad Wajdi Hashim muncul juara baharu kategori Bawah 13 tahun Kejohanan Skuasy Sirkit Remaja Kebangsaan CIMB Rising Stars Siri 2 yang berlangsung di Pusat Skuash Hang Jebat, baru-baru ini.

Pemain berusia 13 tahun dari Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar itu sebelum ini unggul mengetepikan pilihan utama kejohanan yang juga juara edisi terdahulu, Hi Jia Rong dari Sarawak dalam perlawanan separuh akhir.

Dalam perlawanan akhir, beliau sekali lagi cemerlang menafikan cabaran wakil Negeri Sembilan, Shamiel Haeyzad Sharulhisam dengan kemenangan straight set 11-2, 13-11, 11-6.

Kategori Wanita Bawah 13 tahun menyaksikan pilihan utama kejohanan Nur Maisara Mohd Azlan Shah muncul juara selepas menewaskan pilihan ketiga dari Sarawak, Claudia Yong dengan keputusan 11-8, 3-11, 13-11, 11-3.

Bagi kategori Bawah 11 tahun pula, juara kategori Lelaki disandang Harith Danial Jefri dari Sarawak manakala Anrie Goh yang mewakili Kedah muncul juara kategori Wanita.

Juara kategori Bawah 9 Tahun pula dirangkul Danny Gan dan Whitney Isabelle Wilson untuk kategori Lelaki dan Wanita.