Saling melengkapi, begitulah juga pentingnya hubungan antara sekolah, guru dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Tanpa komitmen dan kerjasama kedua-duanya, institusi sekolah seakan lompong kerana peranan PIBG juga memberi kesan langsung kepada pencapaian sesebuah sekolah.

PIBG Sekolah Kebangsaan Taman Semarak Nilai, Negeri Sembilan, membuktikan yang pelbagai kejayaan dan kemudahan boleh dinikmati pelajar dan guru hasil komitmen ditunjukkan persatuan itu sejak sekian lama.

Yang Dipertuanya, Md Fakarudin Ab Rahman berkata, asasnya PIBG sebagai jambatan antara ibu bapa dan guru.

Oleh itu katanya, setiap tindakan atau apa sahaja lontaran idea persatuan itu adalah seiring dengan matlamat pihak sekolah.

“Sejak lima tahun menjadi YDP, saya dan ahli jawatankuasa berusaha bantu dari segenap aspek termasuk akademik, infrastruktur, kemudahan, kokurikulum dan persekitaran sekolah.

“Kita bukan sekadar sebagai sebuah persatuan semata-mata, tapi kita gigih membantu perkembangan sekolah terutamanya dalam mengumpul dana,” katanya.

Kotak sumbangan kertas A4 diletakkan di sekolah bagi beri galakan ibu bapa untuk menyumbang.

Menurutnya, sekolah tidak boleh bergantung penuh dengan kerajaan semata-mata untuk mendapatkan peruntukan bagi penyediaan infrastruktur sekolah.

Beliau berkata, PIBG perlu kreatif membantu mencari dana tambahan misalnya dengan anjurkan program bersesuaian.

“Pada masa sama, kita ajak ibu bapa untuk sama-sama menyumbang. Sebagai contohnya, kita nak naik taraf tandas sekolah, kita menguar-uarkan dalam aplikasi telegram PIBG.

“Kita tak paksa, tapi jika ada ibu bapa yang berkemampuan mereka akan beri sumbangan. Kita sampaikan mesej yang sumbangan itu satu ibadah untuk anak-anak," katanya.

Kata beliau, hasil sumbangan itu, pihaknya buktikan dengan projek dilakukan supaya mereka lebih yakin dan tidak timbul isu duit disalah guna.

Md Fakarudin (kanan) bersama penceramah bebas, Syamsul Debat dalam program kerohanian.

Selain itu katanya, pihaknya turut melancarkan tabung 'The Power of Ten Cents' tahun lalu di mana murid digalakkan menderma 10 sen daripada duit belanja mereka.

Usaha itu dilakukan dengan mengambil konsep ‘sikit-sikit lama-lama jadi bukit' dan hasilnya sekolah mampu memperoleh sumbangan RM300 setiap minggu.

“Sehingga kini PIBG dah bantu naik taraf kemudahan sekolah antaranya, naik taraf kantin, pemasangan pendingin hawa dan pembelian 600 kerusi baru.

“Saya selalu tekankan kepada ibu bapa, anggaplah derma atau sumbangan diberi sebagai satu ibadah yang boleh menjadi kunci kejayaan kepada anak kita,” katanya.

Kenangan ahli jawatankuasa PIBG dengan Menteri Pendidikan II Senator Datuk Chong Sin Woon.