KLANG - Bagi mengutip dana untuk penambaikan tandas Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sri Andalas, guru dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menganjurkan program cuci kereta baru-baru ini.

Program pertama kali diadakan itu mendapat sambutan menggalakkan daripada guru dan ibu bapa serta masyarakat setempat.

Yang Dipertua PIBG, Ahmad Nizam Mohamad Ali berkata, program cuci kereta diadakan bertujuan menambah baik tandas di sekolah yang mengalami kerosakan serta mencari dana untuk tabung PIBG.

“Program bermula seawal jam 8.30 pagi dan berakhir 3 petang itu berjaya mengutip dana hampir RM3,600.

“Lebih kurang 100 kereta berjaya dicuci dan setiap kereta hanya dikenakan RM10 sahaja untuk setiap cucian,” katanya.

Guru dan ibu bapa mencuci kereta dalam Program Cuci Kereta di SK Taman Sri Andalas.

Menurut, Ahmad Nizam, pihak PIBG turut mengadakan aktiviti seperti jualan amal baju terpakai dan buku sumbangan daripada pihak Karangkraf serta cabutan bertuah untuk menarik masyarakat datang ke program tersebut.

Tambahnya lagi, hasil kutipan bukanlah perkara utama tetapi penglibatan dan kerjasama daripada guru, ibu bapa dan masyarakat yang paling penting.

“Kita dapat lihat hubungan baik antara guru, ibu bapa dan masyarakat setempat.

"Komitmen sebegini ammat penting dalam usaha menaikkan prestasi pelajar dalam pembelajaran mahupun sahsiah,” katanya.

Salah seorang peserta berjaya memenangi cabutan bertuah.

Jelasnya lagi, pihaknya juga bercadang mengadakan program kerjasama dengan warga SMK Seri Andalas dan Kelab Rukun Tetangga Taman Sri Andalas bagi menjayakan inisiatif PIBG iaitu menggalakkan ibu bapa dan masyarakat agar sentiasa memberi sokongan dalam membantu pihak sekolah demi kecemerlangan murid.

Beliau berharap dengan adanya aktiviti berkenaan dapat mengeratkan hubungan dan memberikan imej positif kepada kedua-dua sekolah.

Murid turut membantu guru dan ibu bapa mencuci kereta ketika program.

Guru turut mengadakan jualan makanan dan minuman.

Bapa murid ini mencuci kereta dengan penuh semangat.

Jualan buku turut diadakan bagi mengutip dana.