Ruangan ini dikelola oleh Dewan Bahasa dan Pustaka

Masih terngiang-ngiang pertanyaan jujur daripada seorang peminat bahasa kebangsaan dalam majlis bicara karya penulis mapan tanah air di Perpustakaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), Tanjung Malim, Perak beberapa minggu lalu, yakni mengenai perbezaan antara sajak dengan puisi dalam genre kesusasteraan Melayu tanah air.

“Sajak vs puisi. Apakah perbezaannya , munsyi?” tanya individu itu spontan dan sopan sewaktu kami menikmati kudapan di bilik makan.

“Puisi mempunyai makna yang sama dengan perkataan poezie dalam bahasa Belanda. Dalam bahasa Yunani dan Latin, puisi dikenal sebagai poietes. Dalam bahasa Inggeris pula dikenal sebagai 'poetry'.”

Penulis mula berwacana ringkas untuk memberikan penjelasan agar tidak timbul kekeliruan konsep dalam kalangan masyarakat, khususnya khalayak bahasa dan kesusasteraan Melayu tanah air.

“Jadi, apakah maknanya puisi?”

Sejujurnya, menurut Hashim Awang dalam buku Teman Pelajar Kesusasteraan, terbitan Fajar Bakti (1984), puisi adalah karangan berangkap yang ditulis dengan cara susunan kata yang mementingkan irama, bunyi dan kiasan.

Puisi merupakan alat pengucapan fikiran yang terindah dan berkesan.

Antara bentuk puisi yang terkenal termasuklah pantun, syair, seloka, gurindam, dan sajak.

Pantun adalah puisi lama yang terdiri daripada empat baris kalimat yang tiap-tiap satunya mempunyai lapan hingga 11 suku kata.

Baris yang pertama bersajak dengan baris ketiga; baris kedua bersajak dengan baris keempat. Dua baris terawal dinamakan sampiran (pembayang), dan dua baris terakhir merupakan isinya (maksud). Contoh:

Pulau Pandan jauh ke tengah,

Gunung Daik bercabang tiga;

Hancur badan dikandung tanah,

Budi baik dikenang juga.

Syair adalah puisi lama yang mengandungi empat baris kalimat dalam setiap rangkap. Keempat-empat baris kalimat itu terdiri daripada isi. Keempat-empat baris kalimat itu pula bersajak sama. Contoh:

Menara tinggi banyak bertingkat,

Di sana tiada bilik bersekat,

Tiada bertangga naik melekat,

Mata-mata menjaga segenap pangkat.

(2014. Syair Pohon Buluh. Antologi Komsas Tingkatan 1: 'Ku Ingin Berterima Kasih'. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka).

Seloka adalah jenis karangan berangkap yang rima akhirnya tidak tetap.

Tiap-tiap rangkap mengandungi empat baris kalimat, digubah sama ada mengikut bentuk pantun, syair ataupun perumpamaan. Padanya terdapat unsur sindiran dan jenaka.

Contoh:

Ayohai malang Pak Kaduk!

Ayamnya menang, kampung tergadai!

Ada nasi dicurahkan,

Anak pulang kebuluran!

Mudik menongkah surut,

Hilir menongkah pasang!

Masa belayar kematian angin,

Sudah berlabuh, bayu berpuput!

(1984. Teman Pelajar Kesusasteraan. Kuala Lumpur. Penerbit Fajar Bakti).

Gurindam terdiri daripada dua baris ayat yang rima akhirnya sama. Dalam kedua-dua baris ayat itu tersimpul fikiran lengkap yang berupa nasihat. Contoh:

Apabila banyak berkata-kata,

Di situlah jalan masuk dusta.

Apabila mendengar khabar,

Menerimanya itu hendaklah sabar.

Sajak adalah puisi baharu yang bebas daripada peraturan dalam pembentukan rangkap, baris, kata-kata dan rima. Sajak bersifat demikian untuk dapat mengucapkan fikiran penyair (penyajak) dalam cara yang lebih indah, segar dan bebas.

Contoh:

BALADA HIDUP

Sehelai

daun kering

berguguran

di bumi hayat

senja hiba

berlabuh lesu

di horizon waktu bulan

kehilangan bintang

akur bertafakur

di cakerawala hidup!

(Chai Loon Guan. Balada Hidup dalam Dewan Sastera, Jun 2017.)

Sebagai kesimpulannya, genre puisi merangkum pantun, syair, seloka, gurindam dan sajak selain nazam, mantera, ratib, nasyid, masnawi rangkait, teka-teki, perbilangan adat, dendangan, talibun, teromba, dan bahasa berirama.

Alangkah moleknya, jika puisi tersebut turut disisipkan dalam skrip ucapan dan pengacaraan majlis selain diperdengarkan kepada khalayak masyarakat dalam majlis rasmi ataupun majlis tidak rasmi.

Persembahan puisi juga akan menjadi lebih menarik jika diiringi alunan muzik seperti alunan tiupan seruling bambu. \

Lebat sungguh buah pulasan, Jatuh di paya dimakan angsa;

Hebat sungguh puisi warisan,

Khazanah budaya kemegahan bangsa.