ROMPIN - Bidang kewartawanan dan fotografi dimartabatkan di peringkat sekolah menengah menerusi penganjuran Program Kadet Wartawan di bawah kelolaan Sinar Harian dengan kerjasama Rompin Beach Resort (RBR), 30 Januari 2016.

Program itu melibatkan 20 peserta dari empat sekolah di Kuala Rompin iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rompin, SMK Rompin Permai, SMK Seri Rompin dan Sekolah Menengah Agama (SMA) Rompin.

Lima pelajar bersama seorang guru pengiring berpeluang mengikuti sesi perkongsian teknik mengarang dan teknik fotografi pada sebelah pagi, manakala sebelah petang peserta diberi tugasan mengikut kumpulan sekolah masing-masing.

Salah seorang peserta teruja mengendalikan kamera DSLR sambil dibantu Mizan.

 

Sesi perkongsian teknik mengarang disampaikan oleh Editor Sinar Harian Edisi Pahang, Najwa Mohd Ghazali manakala teknik fotografi disampaikan oleh Ketua Jurufoto Sinar Harian, Mizan Mat Tamin.

Menurut Najwa, walaupun program berlangsung dalam masa yang singkat namun komitmen yang diberikan peserta sangat membanggakan dan program berkenaan berjaya mencapai matlamat.

"Selain memupuk minat peserta dalam bidang mengarang dan fotografi, program ini secara tidak langsung membantu memantapkan lagi pengisian majalah sekolah yang ada di antaranya dikendalikan oleh peserta program ini," katanya ketika ditemui selepas program berkenaan.

Beliau turut bercadang untuk meneruskan program sama ke daerah lain di Pahang sebagai satu usaha konsisten Sinar Harian dalam usaha membentuk generasi muda meminati bidang seni kreatif khususnya di peringkat sekolah.

Peserta SMK Rompin Permai menjalankan tugasan mereka.

 

Sementara itu, guru pengiring dan peserta yang ditemui rata-rata menyambut baik program yang dianjurkan kerana ilmu pengetahuan seumpama itu tidak didapati di sekolah.

Sinar Harian dapat pujian Pegawai Daerah Rompin, Datuk Fadzilla Salleh yang hadir merasmikan program dan menyampaikan sijil kepada peserta memuji usaha  Sinar Harian mencungkil bakat dan minat pelajar dalam bidang
kewartawanan.

 


Sinar Harian Edisi Pahang

Program Kadet Wartawan.

 

Beliau turut menasihati pelajar supaya menggunapakai ilmu yang diperolehi untuk perkara yang lebih bermanfaat dan tidak menyalahgunakan media sosial untuk  tujuan tertentu.

Selain Rompin Beach Resort sebagai penaja rasmi program, Sinar Harian turut mendapat kerjasama Mamee-Double Decker (M) Sdn.  Bhd. yang menaja buah tangan berupa produk-produk makanan keluaran syarikat berkenaan kepada peserta.

Eksekutif Pemasaran Sinar Harian, Asziatul AL Asfiz Asbollah menyerahkan bahan bacaan terbitan Kumpulan Media Karangkraf kepada Pengurus Rompin Beach Resort, Mohammad Daniel Abdullah.

 

Menurut Ketua Jabatan Komunikasi Korporatnya, SharSzany Shahry Abu Shahriman, sempena ulang tahun ke-45 Mamee pada tahun ini, Mamee bakal meneruskan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) di bawah kempen Mamee Prihatin.

Katanya, beliau yakin elemen ‘fun’ (keseronokan) dan sesi pembelajaran menerusi konsep ‘learn & play’ yang dibangunkan pihak Mamee dapat diteruskan bersama Sinar Harian.

"Melalui kerjasama dua hala dengan akhbar Sinar Harian ini sedikit sebanyak membantu kami mencapai objektif yang diinginkan iaitu mendekatkan Mamee dengan masyarakat.

"Mamee juga sedia hulurkan bantuan dari segi penambahbaikan dan penggantian papan tanda sekolah yang usang dan tidak lagi boleh diguna pakai bagi mana-mana sekolah terpilih.

"Bagi kami, usaha Sinar Harian ini patut dicontohi kerana ia sedikit sebanyak memberi pendedahan sewajarnya kepada pelajar tentang bidang-bidang yang mereka boleh ceburi pada masa hadapan.

"Mudah-mudahan program ini akan dapat melahirkan lebih ramai wartawan dan jurufoto yang berdedikasi suatu hari nanti," katanya.

Peserta dari SMK Rompin Permai menerima hamper tajaan Mamee selepas dinobatkan sebagai pemenang tugasan terbaik.