(Ruangan ini dikelolakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka)

Baru-baru ini, dalam bual bicara ringkas penulis dengan seorang guru Bahasa Melayu sekolah jenis kebangsaan yang prihatin, yakni melalui wahana komunikasi WhatsApp, timbul persoalan mengenai kepersisan penggunaan ejaan kata atau frasa yang berhubung dengan perayaan utama di negara kita.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2015), kosa kata 'hari' bermaksud masa dari matahari terbit hingga matahari terbit sekali lagi (masa sekali bumi berpusing pada paksinya, 24
jam).

Daripada kosa kata hari, maka akan kita temukan frasa seperti:  

1. Hari Ahad

2. Siang hari

3. Pagi hari

4. Hari hujan

5. Gaji hari (minggu)

6. Hari tua

7. Tempoh hari

8. Hari akhirat

9. Hari baik

10. Hari bapa

11. Hari besar

12. Hari bulan

13. Hari depan,

14. Hari gaji

15. Hari ulang tahun

16. Hari lahir

17. Hari ibu

18. Hari kerja

19. Hari cuti

20. Hari Kebangsaan

21. Hari Raya Haji

22, Hari Pahlawan

23. Hari Natal

Hari Raya Aidil Fitri/Aidil Adha atau Hari Raya Aidilfitri/Aidiladha?

Ayat contoh:

1a. Pusat Beli-belah Angsoka akan mengadakan pelbagai promosi jualan murah menjelang Hari Raya Aidil Fitri/Hari Raya Aidil Adha. (x)

1b. Pusat Beli-belah Angsoka akan mengadakan pelbagai promosi jualan murah menjelang Hari Raya Aidilfitri/Hari Raya Aidiladha. (√)

Tahun Baru Cina atau Tahun Baharu Cina?

Ayat contoh:

2a. Masyarakat Cina akan berkumpul dan makan besar di rumah leluhur pada malam Tahun Baru Cina. (x)

2b. Masyarakat Cina akan berkumpul dan makan besar di rumah leluhur pada malam Tahun Baharu Cina. (√)

Jika diteliti dari aspek golongan kata dalam bahasa Melayu, wujud perbezaan antara kosa kata baru dengan baharu, iaitu kosa kata ‘baru’ dikatakan sebagai kata bantu manakala
kosa kata ‘baharu’ pula dikenal sebagai kata adjektif.

Frasa contoh:

3a. baru menyiapkan kerja rumah itu [kata bantu dalam frasa kerja]

3b. amat baharu [kata adjektif dalam frasa adjektif]

3c. rumah baharu itu [kata adjektif dalam frasa nama]

Deepavali, hari Deepavali atau Hari Deepavali?

Bagaimana pula dengan ejaan bagi kata nama khas Hari Deepavali?

Ayat contoh:

4a. Encik Kesavan memakai doti semasa menyambut Deepavali.

4b. Encik Kesavan memakai doti semasa menyambut hari Deepavali.

4c. Encik Kesavan memakai doti semasa menyambut Hari Deepavali.

Ayat 4a dan 4c menggunakan kata atau frasa Deepavali dan Hari Deepavali sebagai kata nama khas serta menepati konteks makna perayaan dalam pembinaan ayat yang diberikan.

Jika ayat 4a dan ayat 4c tepat, bagaimanakah dengan kepersisan ayat 4b pula?

Frasa Deepavali menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga (2015) bermaksud 'dipavali' atau hari perayaan bagi penganut agama Hindu.

Yang jelas, frasa 'hari Deepavali' tidak berfungsi sebagai kata nama khas lebih-lebih lagi sekiranya digunakan dalam konteks ayat, maka frasa tersebut akan membawa maksud
hari-hari perayaan bagi penganut agama Hindu dan bersifat lewah.

Dalam membicarakan frasa tersebut, maka, adalah lebih wajar dan persis, para pengguna dan pencinta bahasa Melayu menggunakan kata Hari Raya Aidilfitri/Hari Raya Aidiladha, Hari
Krismas, Hari Raya Krismas, Krismas, Hari Gawai, Tahun Baharu Cina, Deepavali atau Hari Deepavali dalam pembinaan ayat bahasa Melayu yang bermutu dan gramatis seperti contoh
yang berikut:

5a. Encik Ali bin Ahmad menyambut Hari Raya Aidilfitri.

5b. Puan Mary Alicio menyambut Hari Krismas.

5c. Encik James Selvaratnam menyambut Krismas.

5d. Cik Kirar ak Sare menyambut Hari Gawai.

5e. Adik Chai Wuang Xing menyambut Tahun Baharu Cina.

5f. Encik Mutu a/l Suppiah menyambut Hari Deepavali.

5g. Cik Devi a/p Ramachandra menyambut Deepavali.