IPOH - Kejayaan Muhammad Azeem Mohd Fahmi, 15,  yang muncul juara 100 meter bagi kategori lelaki bawah 15 tahun Majlis Sukan Sekolah Perak (MSSPK) baru-baru ini dilihat sebagai satu kejayaan yang cukup membanggakan.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata,  kejayaan Muhammad Azeem pada kejohanan berkenaan sebagai satu potensi yang hebat ditunjukkan oleh anak muda yang baru berusia 15 tahun yang berjaya mencatat masa 10.50 saat untuk muncul pemenang.

Menurut Shahrul Zaman, kejayaan berkenaan sekali gus berkemungkinan dapat menobatkan atlet muda berkenaan sebagai ‘the next Khairul Hafiz Jantan’  berdasarkan kepada catatan rekod yang dilakukannya itu.

“Kita bangga dengan kejayaan Muhammad Azeem kerana di usia 15 tahun, dia telah boleh mencatatkan catatan masa yang begitu baik.

“Oleh itu, kita dah minta pihak Majlis Sukan Negeri (MSN) agar dia dapat diberikan platform terbaik untuk kembangkan lagi potensinya.

“Saya juga telah panjangkan perkara ini kepada Pengetua Sekolah Sukan Tengku Mahkota Ibrahim (SSTMI), iaitu sekolah sukan yang turut menempatkan Khairul Hafiz Jantan agar dia dapat menerima latihan yang terbaik,” katanya kepada Sinar Harian.

Shahrul Zaman berkata demikian bagi mengulas kejayaan Muhammad Azeem yang muncul juara bagi acara 100 meter kategori lelaki Kejohanan MSSPK 2018 di Stadium Mini Upsi, Tanjung Malim, baru-baru ini.

Untuk rekod, catatan masa Muhammad Azeem pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat itu sekaligus telah memadamkan rekod dua atlet pasukan Kuala Kangsar dan Larut, Matang, Selama (LMS) pada tahun 2012 dan 2013 dengan catatan masa 11.10 saat.

Difahamkan juga, salinan keputusan rasmi kejohanan tersebut menjadi tular dalam kumpulan WhatsApp sejak semalam dan secara tidak langsung telah menarik perhatian banyak pihak.

Dalam pada itu, Shahrul Zaman berkata, pihaknya juga akan berusaha untuk mendapatkan platform atau saluran terbaik buat Muhammad Azeem mengembangkan bakatnya ke peringkat yang lebih tinggi.

Malah katanya, dalam masa yang sama pihaknya juga akan memberikan perhatian untuk Muhammad Azeem berjaya dalam bidang akademik.

“Muhammad Azeem juga sebenarnya masih berpeluang untuk disenaraikan dalam kontinjen Sukma Perak 2018.

“Tetapi kita yang penting sekarang adalah untuk kita sediakan platform yang terbaik untuk dirinya mencatat lebih banyak kejayaan pada masa hadapan,” katanya.