SEGAMAT – Kelab Taekwondo Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Segamat memperoleh kemenangan besar apabila dinobatkan juara keseluruhan Kejohanan Taekwondo Jemputan Kepong 2017 di Stadium Badminton Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ketua jurulatihnya, Azli Shah berkata, pasukannya berjaya membawa pulang enam pingat emas, enam perak dan empat gangsa selain dinobatkan juara keseluruhan kategori lelaki 12 hingga 17 tahun.

“Kami berjaya merangkul juara keseluruhan kategori 12 hingga 17 tahun selama tiga tahun berturut-turut. Kami tidak menjangkakan kemenangan ini kerana kejohanan kali ini disertai atlet dan kelab taekwondo tempatan serta antarabangsa.

“Kejayaan ini juga hasil kesungguhan semua pihak termasuk daripada peserta dan jurulatih yang bekerja keras,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau turut melahirkan penghargaan kepada Pengetua SMKA Segamat, Mohd Sabri Satar dan pihak sekolah kerana memberikan kepercayaan serta sokongan kuat kepada kelab selama ini.

Katanya, Kelab Taekwondo SMKA Segamat yang ditubuhkan sejak 2005 sudah mencatat banyak kejayaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Saya berharap sokongan dan kepercayaan akan terus diberikan kepada kami supaya kami dapat meneruskan kecemerlangan ini,” katanya.