KUANTAN - Kuantan muncul juara Kejohanan Catur Majlis Sukan Sekolah Pahang (MSSP) 2018 dengan kutipan 200 mata.

Ketua Unit Pembangunan Kemanusiaan Pejabat Pendidikan Maran, Burhanuddin Hashim berkata, seramai 396 peserta mewakili 11 daerah seluruh negeri menyertai kejohanan tersebut.

“Berada jauh di belakang Kuantan adalah Rompin yang berjaya meraih 107 mata menduduki tangga kedua, disusuli Lipis dengan kutipan 100 mata di tempat ketiga.

“Manakala Pekan, Bentong dan Cameron Highlands masing-masing menduduki tangga ke 4,5 dan 6 dengan kutipan 90, 70 dan 60 mata,” katanya.

Burhanuddin berkata, program yang diadakan di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah Maran itu bermula 2 hingga 5 Julai lalu.

Menurutnya, sebanyak tiga kategori dipertandingkan dalam pertandingan itu iaitu bawah 12 tahun lelaki dan perempuan, 15 tahun lelaki dan perempuan, serta bawah 18 tahun lelaki dan perempuan.

“Turut diadakan pada sebelah malam hari kedua kejohanan adalah acara terbuka bagi arbiter dan ahli jawatankuasa,” katanya.

Upacara perasmian disempurnakan Timbalan Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Maran, Mat Pozi Kidam sebagai wakil rasmi Penaung Persatuan Catur Pahang, Datuk Seri Dr Ismail Abdul Muttalib.

Hadir sama, Pengerusi Teknik dan Pembangunan Sukan (Catur) Majlis Sukan Sekolah Pahang, Muhamad Deraman; Hamidah Abdul Hamid, Pengerusi Persatuan Catur Pahang; dan Pengerusi Teknik dan Pembangunan Sukan (Catur) Maran, Muhamad Imran Harris Jamaludin.