HASRAT membentuk generasi muda meminati bidang kewartawanan dan fotografi di peringkat sekolah diteruskan dengan penganjuran kali kedua, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Kudin, minggu lalu.

Program Kadet Wartawan Sinar Harian  dengan kerjasama portal pendidikan GPS Bestari selama dua hari bermula pada 25 Mac dan 26 Mac lalu, melibatkan seramai 25 pelajar dan 5 guru pengiring dari lima buah sekolah.

Selain SMK Tengku Kudin sebagai tuan rumah, peserta turut membabitkan pelajar dari SMK Dong, SMK Seri Raub, SMK Mahmud dan Sekolah Menengah (SM) Sains Tengku Abdullah.

Dalam sesi itu, peserta didedahkan dengan ilmu berkaitan mengarang dan teknik-teknik fotografi pada hari pertama, manakala pada hari kedua mereka diberi tugasan mengikut kumpulan sekolah masing-masing.

Program Kadet Wartawan Sinar yang dimulakan dengan perkongsian teknik mengarang dan kerjaya dalam bidang kewartawanan oleh Editor Sinar Harian Edisi Pahang, Najwa Ghazali mendapat respons positif daripada pelajar dan guru terlibat.

 

"Sinar Harian memberi peluang kepada golongan pelajar terutamanya mereka yang terlibat dalam sidang redaksi majalah sekolah atau kelab-kelab yang berkaitan merasai sendiri kerjaya sebagai seorang wartawan dan jurugambar melalui program ini.

"Alhamdulillah, program pertama di Kuala Rompin dan yang kedua ini mendapat kerjasama baik peserta. Malah mereka dilihat bersungguh-sungguh ketika melakukan tugasan dan begitu berkeyakinan ketika membentangkan tugasan masing-masing," katanya yang merumuskan perjalanan program selama dua hari itu.

Sementara itu,  Ketua Jurufoto Sinar Harian, Mizan Mat Tamin yang memberi pendedahan mengenai teknik asas fotografi teruja melihat persediaan yang dilakukan peserta pada program berkenaan.

"Saya bangga melihat kesungguhan peserta yang datang dengan peralatan kamera masing-masing malah bersungguh-sungguh melakukan tugasan," katanya.

Sementara itu, peserta yang ditemui rata-rata menyambut baik program yang dianjurkan kerana ilmu pengetahuan seumpama itu tidak didapati di sekolah.

Najwa menyampaikan sumbangan buku-buku terbitan Kumpulan Media Karangkraf kepada Lukman untuk dijadikan bahan bacaan pusat sumber sekolah.

 

Nur Atiqah Abdul Rahman, 16, dari SMK Dong akui begitu teruja apabila pihak sekolah memilihnya untuk menyertai program itu.

“Sepanjang program ini, banyak pendedahan yang Sinar Harian berikan kepada saya terutamanya teknik mengarang berita. Sebagai seorang penulis majalah sekolah, saya boleh menggunakan teknik ini untuk saya memperbaiki teknik penulisan saya,” katanya.

Pelajar SMK Mahmud, Mohamad Sofriyusairi Yussri, 19, berkata program itu memberi pendedahan kepadanya bagaimana seorang wartawan dan jurugambar bekerja secara realiti.

Menurutnya, selama ini dia hanya mengenali wartawan menerusi media massa atau kaca TV tetapi tidak mengetahui cara kerja dan bebanan tugas yang dilalui oleh mereka untuk mendapatkan bahan berita dan gambar yang berkualiti.

“Baru saya tahu wartawan dan jurugambar bekerja tak ikut masa walaupun ini satu pekerjaan yang popular di kalangan masyarakat.

“Saya berterima kasih kepada Sinar Harian kerana memberi peluang kepada saya menyertai program ini. Melalui program ini, saya bersemangat untuk meneruskan minat saya menjadi seorang jurugambar yang berjaya,” katanya.

Pada program itu, SM Sains Tengku Abdullah dinobatkan sebagai kumpulan terbaik menghasilkan tugasan diikuti kumpulan SMK Tengku Kudin yang diadili oleh Editor GPS Bestari, Mazlinda Mohd Nor.

Dapat sokongan padu Kehadiran kru Sinar Harian ke SMK Tengku Kudin mendapat sokongan padu Pengetuanya, Lukman  Yatimi Ahmad yang hadir merasmikan program dan menyampaikan sijil kepada peserta.

Beliau memuji usaha Sinar Harian mencungkil bakat dan minat pelajar  dalam bidang kewartawanan serta berharap agar program ini menjadi aktiviti tahunan di daerah Raub. "Saya harap pelajar mengguna pakai ilmu yang diperolehi untuk perkara yang lebih bermanfaat terutamanya dalam membantu program-program di sekolah," katanya.

Pelajar SMK Dong menemu ramah tokoh guru bagi sesi tugasan.

 

Program Kadet Wartawan Sinar Harian turut mendapat kerjasama  Lemang To'Ki sebagai penaja makanan dan Mamee-Double Decker (M) Sdn. Bhd. yang menaja hadiah termasuk membawa khas maskot untuk memeriahkan waktu rehat di SMK Tengku Kudin.

Pemilik Lemang To'Ki, Mazlan  Ramli, 51, menyokong usaha Sinar Harian yang sanggup turun memberi pendedahan kepada pelajar tentang bidang  kewartawanan dan fotografi. “Kami sebagai penaja ingin membantu Sinar Harian dalam memberi keselesaan kepada pelajar dalam menyediakan makanan dan minuman yang sedap. Apabila makan sedap mereka akan suka dan gembira dan ini akan membantu mereka fokus dalam program ini,” katanya.

Manakala Senior Eksekutif Komunikasi Korporat Mamee, Muhd  Nadzrein Johari berkata, penglibatan Mamee bukan sekadar memeriahkan acara tetapi mahu menjadikan produk keluarannya lebih dekat dengan komuniti setempat. Menurutnya, ia juga salah satu cara Mamee menjalan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama syarikatsyarikat lain dalam membangunkan program-program ilmiah seperti ini.

"Terima kasih kepada Sinar Harian yang sudi menjemput Mamee  dan saya juga berharap program seumpama ini diteruskan lagi pada masa  akan datang," katanya sambil berharap program ini dapat melahirkan lebih ramai wartawan dan jurugambar.

Peserta SM Sains Tengku Abdullah melakukan tugasan berkumpulan menemu ramah bekas pelajar cemerlang Orang Asli SMK Tengku Kudin.

 

Lukman Yatimi berucap dan merasmikan program berkenaan.