Shah Alam - Seperti juga beberapa sekolah lain, Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 18 tidak ketinggalan menyediakan sarapan untuk pelajar yang menduduk peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) semalam.

Dari kiri: Suzana,Setiausaha PT3 Cikgu Normaziah Deghani dan AJK PIBG SMK Seksyen 18, Maslilawati.

Antara sukarelawan yg hadir seawal jam 8 pagi lagi.

Seawal jam 8 pagi, sebanyak 12 ibu bapa pelajar dan 14 guru diketuai Suzana Ahmad yang merupakan AJK Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Pengerusi KSIB sekolah itu, bertungkus-lumus mengagihkan sarapan pagi kepada pelajar sebelum mereka memasuki dewan peperiksaan.

Program yang dinamakan Santapan Kasih itu dicetuskan pengetuanya, Siti Khadijah Awang Seman itu bertujuan memastikan 274 calon PT3 mengambil sarapan pagi sebelum peperiksaan.

Siti Khadijah (tengah) bersama ibu bapa dan guru pada program Santapan Kasih untuk calon PT3.

Yang Dipertua PIBG SMK Seksyen 18, Cheremi Tarman turut hadir memberikan sokongan.

Guru dan ibu bapa bertungkus-lumus mengagihkan makanan sebaik sahaja kertas pertama subjek Bahasa Melayu selesai, semalam.

Menurut Suzana, mereka akan menyediakan sarapan pagi setiap hari sehinggalah peperiksaan berakhir, Khamis ini.

"Untuk hari ini, menu sarapan Santapan Kasih adalah nasi lemak, kuih dan sosej yang turut disumbangkan ibu bapa.. menu kami akan tukar setiap hari.

"Kami sangat terharu dengan komitmen ibu bapa yang sanggup mengambil cuti bagi memberi sumbangan pada program Santapan Kasih ini," katanya.

Selain itu kata beliau, waktu rehat yang terhad turut mendorong mereka mengambil inisiatif itu.

Ahli KSIB dan guru SMK Seksyen 18 meraikan kepuasan mereka setelah berjaya melaksanakan Santapan kasih pada hari pertama semalam.

Ibu yang hadir hari pertama peperiksaan PT3 yang turut menyumbang tenaga.

"Kesemua makanan disajikan disediakan penyedia makanan yang sudah menerima suntikan tifoid manakala bagi pelajar yang berpuasa kami bekalkan makanan untuk berbuka yang dimasak khas," katanya.

Katanya, PIBG berjaya mengumpulkan sumbangan ibu bapa sebanyak RM6,000 untuk program tersebut.