GEMAS – Sekolah Kebangsaan (SK) Londah, di sini, meneruskan kecemerlangan dalam menjadi platform melahirkan atlet cemerlang dalam sukan bola tampar

Jurulatihnya, Norsuriati Hashim berkata, sekolah berkenaan membuka peluang kepada anak tempatan di sekitar perkampungan berkenaan untuk digilap potensinya dalam sukan bola tampar sejak 2016 sehingga kini.

Menurutnya, antara pencapaian terbaharu pasukan bola tampar sekolah adalah muncul sebagai johan bagi kategori lelaki dan perempuan dalam Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Tampin pada 17 dan 19 April lalu di gelanggang terbuka Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gemas.

“Kejayaan ini mengekalkan kecemerlangan sekolah dalam sukan bola tampar apabila pasukan lelaki telah menjuarai kejohanan berkenaan selama 10 tahun berturut-turut.

“Manakala pasukan perempuan pula menjuarai kali ke-10 di peringkat MSSD Tampin. Tahun ini merupakan tahun ke-13, SK Londah dalam permainan bola tampar peringkat MSSD Tampin,” katanya di sini, semalam.

http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.834537.1526348551!/image/image.jpg

Pasukan bola tampar perempuan SK Londah berjaya menjuarai Kejohanan MSSD Tampin kali ke-10.

Norsuriati yang pernah dianugerahkan Ikon Kokurikulum dan Sukan sempena Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Tampin tahun lalu di Kompleks Arena Dataran Tampin berkata, SK Londah berjaya melahirkan atlet bola tampar di Tampin untuk diketengahkan ke peringkat negeri serta kebangsaan.

Menurutnya, pada setiap tahun, SK Londah yang dipimpin Guru Besar, Rosnaini Ab Latiff itu menjadi pusat latihan untuk atlet bola tampar di perkampungan berkenaan telah melatih lebih kurang 30 murid dalam sukan berkenaan.

“Sejak 2006 hingga tahun lalu, ada murid dari sekolah ini menjadi atlet negeri untuk pertandingan di peringkat kebangsaan dan kita berasa sangat bertuah apabila atlet dari sekolah ini mendapat pendedahan dalam pertandingan berkenaan.

“Malah, usaha kita ini dibantu oleh warga sekolah khususnya, pembantu jurulatih lelaki, Nur Iffat Haiqal Mohd Zawawi; Pengurus pasukan lelaki, Maisarah Mahaya; pembantu jurulatih perempuan, Nadhirah Mohamad Shahar dan pengurus pasukan perempuan, Zalifah Rohaiza Ismail.

Pada tahun lalu, pasukan bola tampar lelaki dan perempuan Daerah Tampin berjaya muncul sebagai johan dalam pertandingan di peringkat negeri.

 Pasukan bola tampar lelaki SK Londah menjuarai Kejohanan MSSD Tampin selama 10 tahun berturut-turut.

Senarai murid atlet bola tampar yang mengharumkan nama sekolah ke peringkat kebangsaan sejak 2006 hingga tahun lalu.