Dua pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Kota Gelanggi Dua, Jerantut, berbangga apabila dinobatkan sebagai olahragawan dan olahragawati sekolah.

Anugerah itu dinobatkan sempena hari sukan sekolah yang diadakan Khamis lalu.

Mohamad Naim Abdul, 17, dan Nur Hanis Najwa Rokkiswan, 17, kedua-duanya mewakili pasukan Rumah Zuhal, masing-masing dinobatkan sebagai olahragawan dam olahragawati.

Mengulas mengenai kejayaan itu, Mohamad Naim berkata, latihan dilakukan sebelum ini sebagai persiapan hari sukan sekolah berhasil dengan penerimaan anugerah berkenaan.

Mohamad Naim berjaya meraih dua emas bagi dua acara yang disertainya iaitu lumba lari 100 meter dan 200 meter.

Bagi Nur Hanis Najwa pula, dia menyifatkan anugerah itu merupakan hasil usahanya berlatih bersungguh-sungguh, selain mendapat dorongan dan sokongan dari guru serta rakan-rakan sepasukan.

Peserta perarakan dengan kreativiti masing-masing.

 

Seperti Mohamad Naim, Nur Haniz Najwa juga berjaya meraih dua emas iaitu dalam acara lumba lari 100 meter dan lompat jauh.

Selain Mohamad Naim dan Nur Hanis Najwa, dua lagi pelajar dinobatkan sebagai olahragawan dan olahragawati harapan.

Mereka yang mendapat anugerah itu ialah Muhammad Afiq Akhmal Mohd Shaluddin, 15, dan Nur Farisha Husan Hahazemi, 13.

Muhammad Afiq Akhmal yang mewakili rumah Utarid memenangi tiga emas bagi acara lumba lari 100 meter, 200 meter dan lompat jauh.

Bagi Nur Farisha Husan pula, dia yang mewakili rumah Marikh turut berjaya meraih tiga emas bagi acara lumba lari 100 meter, 200 meter dan 400 meter.

Dalam pada itu, Guru Penolong Kanan Kokurikulum SMK Felda Kota Gelanggi Dua, Mohd Sohaimi Hamzah berkata, anugerah itu dinilai dari segi jumlah emas yang berjaya dipungut secara individu.

Setiausaha Kokurikulum, Ahmad Farizan Bahaman pula berkata, anugerah itu diberikan sebagai dorongan buat pelajar untuk terus bergiat aktif dalam sukan dan dalam masa sama dapat diseimbangkan dengan pelajaran.

Manakala pengetua sekolah terbabit, Che Harun Hamat merakamkan tahniah kepada pasukan Marikh kerana telah menjadi johan keseluruhan acara sukan berkenaan.

Majlis perasmian hari sukan sekolah itu telah disempurnakan Ketua Unit Sukan Pahang, Jalaluddin Ismail.

 

INFO

Pasukan Marikh muncul johan keseluruhan acara sukan berkenaan.

 

Pasukan rumah Marikh dinobatkan sebagai juara keseluruhan Hari Sukan SMK Kota Gelanggi Dua.