KOTA BHARU – Muhamad Hafeez Firdaus Che Rashid dan Nona Azama Mohd Noor dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putera, sempena Majlis Anugerah Juara 2017 Sekolah Sukan Negeri (SSN) Kelantan itu, baru-baru ini.

Kedua-dua atlet pelapis itu dipilih berdasarkan pencapaian terbaik mereka dalam sukan tenis serta balapan dan padang di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Muhamad Hafeez Firdaus, 16, merupakan pemenang pingat gangsa Kejohanan Tenis Sekolah Asia di Solo, Ogos lalu, selain meraih tempat keempat Sukan Sekolah Asean di Singapura dan menggondol emas serta gangsa pada siri kejohanan Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM).

Sebahagian penerima anugerah kecemerlangan sukan dan akademik bergambar bersama warga pendidik SMK Putera pada majlis tersebut.

Sementara Nona Azama, 17, merangkul pingat perak 400 meter Kejohanan Balapan dan Padang Majlis Sukan Sekolah-Sekolah (MSS) Malaysia tahun ini selain menduduki tempat keenam Pra Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.

Ketua Penolong Pengarah Kanan, Sektor Pendidikan Sukan, Kementerian Pendidikan, Dr Zuber Hassan menyampaikan hadiah berupa plak dan sijil penghargaan kepada dua atlet itu.

Hadir sama, Ketua Unit Sukan Jabatan Pendidikan negeri, Muhammad Nuzulhan Muhammad Zain; Pengetua SMK Putera, Razuki A Rahim dan Timbalan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Wan Ahmad Wan Jusoh.

Malam Anugerah Juara turut memberi pengiktirafan kepada atlet balapan dan padang, Nurul Nazifah Abd Wahab dan Muhamad Syuqran Mohd Azlan (bola sepak) sebagai Olahragawati dan Olahragawan Harapan.

Atlet balapan dan padang serta bola jaring bangga menunjukkan sijil penghargaan masing-masing.

Dalam pada itu, kecemerlangan atlet taekwondo, Wan Nurul Najihah Wan Ahmad turut melayakkan dia membolot Anugerah Khas, manakala pemenang gangsa acara 400m T-20 Para Asean XI Kuala Lumpur, Nur Alia Ardiela Natasya Ibrahim diumumkan penerima Anugerah Khas Juri.

Turut menerima Anugerah Kecemerlangan Sukan adalah 12 pelajar yang menyertai Kejohanan MSS Malaysia dalam acara bola jaring, hoki (9), balapan dan padang (10), bola sepak (7), sepak takraw (4), tenis (2), skuasy dan gimnastik, masing-masing seorang selain 12 pelajar bagi Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kepimpinan.

Muhamad Syuqran dan Nurul Nazifah Abd Wahab menggondol anugerah Olahragawan serta Olahragawati Harapan.

Sementara itu, Dr Zuber berkata, bersesuaian Pelan Pembangunan Pendidikan negara, pengiktirafan itu penting bagi menghargai sumbangan pelajar yang cemerlang dalam bidang sukan dan akademik.

"Saya tengok anugerah ini cukup bagus bagi mengiktiraf pencapaian pelajar. Sekolah ini telah mencipta nama apabila beberapa pelajar mereka mewakili negeri ke peringkat kebangsaan dan luar negara," katanya.

Nur Alia Ardiela Natasya menerima Anugerah Khas Juri dari Zuber sambil diperhatikan Razuki atas kejayaannya meraih gangsa acara 400m T-20 Para Asean XI Kuala Lumpur.