Kosa kata, 'dalam' dalam Bahasa Melayu mempunyai pelbagai makna yang wajar kita halusi dan telusur, yakni jarak (jauhnya) ke bawah atau ke dasar dari permukaan (air, tanah, dan sebagainya), jarak (jauhnya) ke tengah dari tepi atau pinggir sesuatu, tidak cetek, bukan sedikit, tidak sempit, lebih daripada sekadar yang perlu sahaja, mengandungi makna yang tidak mudah difahami (berkenaan perkataan, ungkapan, dan sebagainya), tidak ceper (leper), jeluk (berkenaan pinggan atau piring), bahagian atau ruang (rumah, bilik, peti, almari, dan lain-lain) yang lawannya luar, yang berkaitan dengan atau terbatas pada lingkungan sesuatu (seperti negeri, keluarga, dan lain-lain) itu sendiri, yang tidak nampak atau ketara dari luar dan yang dipakai sebelum dipakai pakaian selengkapnya.

Dalam Bahasa Melayu, kosa kata, 'dalam' tergolong dalam beberapa jenis kata mengikut fungsi masing-masing, iaitu:

i.'dalam' sebagai kata sendi nama

Ayat contoh: Dalam hal ini, kita perlu bersepakat.

Kata Sendi + Kata Nama/Frasa Nama dalam + hal ini

Kita harus fasih bertutur dalam bahasa kebangsaan kita.

Kata Sendi + Kata Nama/Frasa Nama dalam + bahasa kebangsaan kita

ii.'dalam' sebagai kata adjektif

Ayat contoh: Sungai Berop sangat dalam.

Kata Penguat + Kata Adjektif sangat + dalam

Sungguh dalam luka pada kakinya.

Kata Penguat + Kata Adjektif

sungguh + dalam

iii.'dalam' sebagai kata arah.

Ayat contoh:

Pensel itu di dalam kotak.

Kata Sendi + Kata Arah + Kata Nama di + dalam + kotak

Tetamu itu berada di dalam dewan.

Kata Sendi + Kata Arah + Kata Nama di + dalam + dewan

Ayat contoh:

a. Wang yang tersimpan di dalam laci itu untuk kumpulan mana? (baku).

di + dalam + laci itu

Kata Sendi + Kata Arah + Frasa Nama

Wang yang tersimpan dalam laci itu untuk kumpulan mana? (tidak baku).

Tetamu itu berada di dalam dewan (baku).

di + dalam + dewan

Kata Sendi + Kata Arah + Kata Nama

a. Bill Gates ialah pereka cipta perisian pemprosesan perkataan yang telah memberikan sumbangan dalam bidang teknologi maklumat. (baku)

dalam + bidang teknologi maklumat

Kata Sendi + Frasa Nama

Bill Gates ialah pereka cipta perisian pemprosesan perkataan yang telah memberikan sumbangan dalam bidang teknologi maklumat. (tidak baku)

Perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat yang lalu. (baku)

dalam + mesyuarat

Kata Sendi + Kata Nama

Saya tidak terlibat dalam urusan mereka. (baku)

dalam + urusan mereka

Kata Sendi + Frasa Nama

b. Paling dalam luka pada kaki Mutu. (baku)

Paling + dalam

Kata Penguat + Kata Adjektif

Dalam sekali luka pada kaki Mutu. (baku)

Dalam + sekali

Kata Adjektif + Darjah Penghabisan/Kata Penegas

Paling dalam sekali luka pada kaki Mutu. (tidak baku)

Sekali dalam luka pada kaki Mutu. (tidak baku)

Amat dalam sekali kolam lombong itu. (baku)

amat + dalam + sekali

Kata Penguat + Kata Adjektif + Darjah Penghabisan

Amat dalam kolam lombong itu. (baku)

amat + dalam

Kata Penguat + Kata Adjektif

Dalam sekali kolam lombong itu. (baku)

dalam + sekali

Kata Adjektif + Darjah Penghabisan/Kata Penegas

Teramat dalam kolam lombong itu. (baku)

ter- + amat + dalam

Imbuhan awalan + Kata Penguat + Kata Adjektif

Yang jelas, kosa kata, 'dalam' terdiri daripada kata sendi, kata adjektif dan kata arah dalam Bahasa Melayu.

Kata-kata tersebut mempunyai fungsi tersendiri dalam pembentukan dan pembinaan ayat (sintaksis) Bahasa Melayu yang betul dan gramatis.

Kenalilah kosa kata, 'dalam' agar kita sebagai pengguna dan pencinta bahasa mampu berbicara atau berwacana dengan baik dan persis dalam Bahasa Melayu sebagai bahasa sarana ilmu, bak kata pepatah Melayu, tak kenal, maka tak cinta.

Bahasa Jiwa Bangsa.