Mungkin sekolah lain, warga pendidik yang bertungkus lumus membuat persediaan untuk sambutan Hari Guru peringkat sekolah.

Namun, tidak bagi Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 6 Kota Damansara. Sekolah ini cukup bertuah kerana Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) secara sukarela mahu menganjurkan majlis bermakna itu.

"Tiga tahun berturut-turut PIBG dengan kerjasama Kelab Guru, menganjurkan Hari Guru.

"Mungkin sambutan ini tidak 'seberapa', namun, inilah yang mampu kami lakukan demi meraikan guru-guru yang telah banyak berjasa, berkorban dan mencurah segala ilmu kepada anak-anak kami," kata Yang Dipertua PIBG, Mohd Yusni Ismail.

Mohd Yusni

 

Beliau berkata, semua aktiviti dan atur cara majlis, dikendalikan sepenuhnya oleh PIBG dan Kelab Guru. Guru hanya datang ke sekolah dan bergembira bersama murid-murid.

Guru Besar, Abdul Manaf Ahmad melahirkan rasa bangga dengan komitmen dan kerja keras yang dilakukan penganjur. Kerjasama itu telah menjadikan sambutan Hari Guru meriah, hebat dan menarik.

"Kami diraikan bagaikan tetamu istimewa. Segala-galanya mereka lakukan.Cara sebegini, sekurang-kurangnya dapat mengubat keletihan cikgu-cikgu yang sentiasa sibuk dengan pelbagai tugasan. Diharapkan kerjasama  diteruskan kelak," ujar beliau.

Sementara itu, SK Seksyen 6 Kota Damansara memilih tema Twin untuk sambutan Hari Guru tahun ini. Semua pasangan guru dikehendaki memakai pakaian yang sama bersesuaian dengan tema ditampilkan.

Empat kategori utama telah dipertandingkan iaitu Anugerah Pemenang Pakaian Terbaik dimenangi Cikgu Muhasnim, Cikgu Kamilah, Cikgu Shaharuddin, Cikgu Che Ramli dan Cikgu Safwandy); Anugerah Guru Hots Meletop (Cikgu Rezal, Cikgu Nila Surah, Cikgu Shaharuddin, Cikgu Wan Hussein, Cikgu Muhd Fakhrul Nizam, Cikgu Muhammad Kamil, Cikgu Che Ramli dan Cikgu Najihah); Anugerah Undian Tertinggi Guru Hots Meletop (Cikgu Shaharudin) dan Anugerah Khas Guru (Cikgu Rohanim, Cikgu Shaharudin, Cikgu Nur Haili dan Cikgu Rosneza).