SIMPANG RENGGAM - Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Dato Onn Jaafar, dekat sini mengambil inisiatif mewujudkan Laman Bio Diversiti untuk pembelajaran murid sekolah berkenaan.

Yang Dipertua PIBG SK Dato Onn Jaafar, Anida Basri berkata, Laman Bio Diversiti diwujudkan melibatkan sektor pertanian dan penternakan khusus untuk pembelajaran murid selain tempat riadah.

Anida

Katanya, projek yang diusahakan dalam jangka masa singkat itu hasil gabungan tenaga dengan Persatuan Aspirasi Resources di atas tanah milik sekolah tersebut.

“Kawasan yang diusahakan itu sebenarnya adalah kawasan tanah terbiar milik sekolah seluas  0.8 hektar yang mana sebelum ini dicadangkan untuk pembinaan kelas pendidikan khas, namun tiada perkembangan lanjut mengenainya sehingga timbul idea mewujudkan laman ini.

“Dengan bajet yang ada laman ini diwujudkan bagi memberi peluang kepada murid mendalami secara peringkat awalan perkara berkaitan pertanian dan penternakan melalui tanaman dan binatang yang terdapat di laman ini.

“Selain itu, laman ini juga akan digunakan sebagai tempat riadah murid dan masyarakat. Malah, laman ini juga boleh dijadikan sebagai tempat perkhemahan pasukan beruniform mahupun NGO,” katanya selepas majlis pelancaran laman berkenaan, baru-baru ini.

Anida (tengah) mengiringi Abd Hamid ke kawasan tanaman pokok bunga di laman berkenaan.

Majlis perasmian disempurnakan Ketua Whip Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR), Datuk Abd Hamid Abd Rahman merangkap Ketua Umno Bahagian Simpang Renggam.

Hadir sama, Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Kluang, Shahat Md Shah.

Dalam pada itu, Anida berkata, laman yang diwujudkan itu bukan sahaja pembelajaran semata-mata, tetapi turut membantu menjana pendapatan PIBG menerusi kunjungan orang ramai untuk membuat perkhemahan atau memberi makanan kepada haiwan di laman berkenaan.

Katanya, pada masa ini masih di peringkat awal dan akan diperkemas dengan menambah baik dari segi tanaman pokok herba dan ternakan.

“Pada masa ini hanya ada pokok bunga dan haiwan ternakan seperti arnab serta ikan.

“Laman ini juga sebagai galakan kepada murid dengan menumpukan kepada sektor pertanian dan penternakanselain dijadikan sebagai bahan rujukan," katanya.

Guru SK Dato' Onn Jaafar memberi tunjuk ajar kepada murid mengenai cara memberi arnab makan.

Kata Anida, melalui sentuhan dan didikan daripada guru berkaitan pertanian, beliau pasti ia memberi pendedahan kepada pelajar.

“Beberapa perancangan turut dilaksanakan secara berperingkat di laman ini bagi memastikan tujuan penubuhan laman ini mencapai sasaran yang ditetapkan seterusnya memberi manfaat kepada murid dan sekolah,” katanya.

Sebahagian tanaman yang ditanam di Laman Bio Diversiti SK Dato' Onn Jaafar.

Anida (dua kiri) bersama Abd Hamid (kanan) memegang arnab yang diletakkan di Laman Bio Diversiti.

 Abd Hamid menyempurnakan penanaman pokok pada majlis pelancaran Laman Bio Diversiti.

Anida (empat kiri) mengiringi Abd Hamid ke kawasan tanaman pokok bunga di laman berkenaan.

Pandangan hadapan Laman Bio Diversiti.

Pelancaran Laman Bio Diversiti mendapat sambutan dalam kalangan ahli PIBG SK Dato' Onn Jaafar.