DESA COALFIELDS – Tidak hanya membantu meningkatkan kecemerlangan murid, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Desa Aman mengambil inisiatif tersendiri menceriakan kawasan sekolah.

Yang Dipertua PIBG SK Desa Aman, Abdul Azis Hassan berkata, pihaknya prihatin dengan keperluan sekolah dalam usaha memberi keceriaan dan keselesaan kepada warganya.

“Kami prihatin dengan kawasan lapang ‘hardscape’ bersebelahan Dewan Terbuka SK Dewan Aman yang pada awalnya dipenuhi batu kerikil dan dikhuatiri memberi kesan buruk kepada murid.

“Jadi PIBG ambil langkah proaktif dengan kumpulkan dana dalam kalangan jawatankuasa sendiri dan mendapatkan kepakaran serta sumbangan terus pembekal bahan rumput karpet atau ‘artificial grass’ ini,” katanya.

Kerja pemasangan rumput karpet dipantau pakar.

Abdul Azis yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) Zon 14 Desa Coalfields itu turut merencana pelbagai program bersama jawatankuasa PIBG untuk pembangunan sekolah.

“PIBG terus bantu sekolah untuk tambah baik kemudahan persekitaran berkaitan ‘hardscape’ dan landskap sejajar dengan kempen yang dilaksanakan penuntut UiTM ‘Better Me Society’ pada penganjuran program tahun lalu.

“Kami mahu teruskan kempen sama bagi mengindahkan lagi suasana pembelajaran dan landskap sekolah supaya lebih menarik," katanya.

Kempen 'Better Me Society' diteruskan PIBG bagi meningkatkan keceriaan sekolah.

Abdul Azis bersalaman dengan Guru Besar SK Desa Aman, Mohd Sehhuri Sarip sebagai simbolik penyerahan rumput karpet.

Jawatankuasa PIBG, guru dan ibu bapa bersama Dr Irmohizam.