BERA - Satu-satunya Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tawar di daerah ini mempunyai logo persatuan dijangka akan terus meningkatkan tanggungjawab mereka untuk memperkasakan kecemerlangan sekolah itu.

Pengerusinya, Amran Silong berkata, sejak sekolah itu dibuka pada 1928, ramai para ilmuan dilahirkan, malah sebahagian besar merupakan alumni sekolah ini.

Menurutnya, bagi memastikan kegemilangan sekolah termasuk kecemerlangan murid terus dipertingkatkan, PIBG harus melangkah lebih maju ke hadapan.

“Kita merancang dengan adanya logo PIBG ini kita boleh mengorak langkah lebih jauh supaya para murid menerima manfaatnya.

“Sekolah yang mempunyai sejarah kerana telah dibuka selama 90 tahun, pembaharuan perlu dirangka demi masa depan anak-anak tempatan di sini,” katanya selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agong PIBG SK Durian Tawar yang disempurnakan Pegawai Khas kepada Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Sabariah Saidan.

Amran berkata, dengan pelancaran logo ini akan mampu melonjakkan semangat para ibu bapa kepada murid sekolah berkenaan dan memberi contoh kepada PIBG sekolah lain untuk bersama-sama mempunyai logo persatuan sendiri.

“Kalau kita mahu memastikan anak-anak tempatan di Bera ini terus berjaya, ibubapa yang harus berubah terlebih dahulu.

“Apa yang kita lakukan ini, sudah pasti akan memberi contoh kepada anak murid, sekali gus menjadi sumber inspirasi kepada mereka,” katanya.