KULIM - Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Ular telah mengadakan satu majlis Anugerah Kecemerlangan USPR 2017 pada 25 Mac lalu.

Seramai 10 murid yang mendapat 6A dan 5A telah menerima anugerah tersebut.

Penasihat PIBG SK Sungai Ular, Busheroh Ishak berkata kejayaan demi kejayaan telah diterokai oleh warga sekolah baik dalam bidang akademik mahupun kokurikulum, semua kejayaan itu adalah hasil daripada kesepaduan muafakat bersama.

"Suntikan semangat kejayaan dan kecemerlangan anak-anak terletak pada kita semua.

"Sesungguhnya gabungan usaha, komitmen dan kerjasama daripada semua pihak amat penting untuk memastikan anak-anak dapat menempuh gelombang perubahan yang sentiasa diduga dengan pelbagai karenah dan cabaran," katanya.

Katanya lagi, sokongan dan sumbangan PIBG sekolah dari segi material, mahupun idea-idea yang bernas, sokongan moral yang merupakan nadi penggerak dalam semua pendidikan dan pembangunan prasarana sekolah telah banyak memberi peranan dalam meningkatkan prestasi dan kecemerlangan sekolah dalam pelbagai bidang.

Setiausahanya, Muhamad Irwan khadip turut berkata PIBG merupakan wadah yang bertanggungjawab memikul amanah membantu pihak sekolah dalam menggilap  kecemerlangan anak-anak kita.

"Komitmen yang padu di kalangan anggota PIBG akan menjanjikan kejayaan dan kepuasan bagi melahirkan insan cemerlang. Sebuah sekolah yang mencapai  kejayaan yang melebihi sasaran dalam akademik dan kokurikulum sesungguhnya disokong oleh kemantapan PIBG.

"Sumbangan dari segi kepakaran, kebolehan dan kelebihan yang dimiliki oleh setiap ahli amat dialu-alukan bagi menjayakan segala program yang dirancang. Ibu bapa yang hadir dapat memberi sumbangan buah fikiran dan bantuan fizikal kerana itulah aset yang paling berharga bagi PIBG," katanya.

Katanya lagi, walaupun PIBG beroperasi atas dasar sukarela, namun konsep permuafakan akan membolehkan kita melaksanakan apa-apa sahaja yang terbaik untuk kecemerlangan anak-anak kita.

"Oleh itu saya menyeru agar setiap ahli sama-sama memberikan komitmen dan bersatu hati menjadi penggerak dalam memacu persatuan ini menjadi lebih dinamik," katanya.