SMK Seksyen 9 telah memenangi pertandingan F1 in School peringkat kebangsaan, baru-baru ini. Sekolah berkenaan bakal mewakili negara pada September depan dan bertanding dengan 47 negara luar.

Kos diperlukan sekitar RM120,000 merangkumi pendaftaran sebanyak RM60,000, binaan kereta pertandingan sekitar RM10,000 sebuah dan pihak sekolah perlu mereka bentuk sekurang-kurangnya tiga buah kereta.

YDP PIBG, Zulrushdi Mohamed berkata, kejayaan ke peringkat kebangsaan di luar jangkaan namun, pastinya ia menjadi berita menggembirakan buat warga sekolah.

Demi memastikan SMK Seksyen 9 dapat meneruskan pertandingan, PIBG mula memainkan peranan.

Tekad mereka, usaha keras harus dilakukan dengan mencari dana untuk membantu pihak sekolah supaya dapat menyertai pertandingan tersebut.

"Kami mengadakan malam Gala Dinner, 21 April lalu di Hotel Concorde Shah Alam. Penaungnya, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"Alhamdulillah, dengan kerja keras semua ahli jawatankuasa PIBG dan sokongan padu semua pihak.

Kata Zulrushdi, pihak PIBG telah berjaya mengumpul dana menerusi jualan meja dan penajaan daripada semua pihak sebanyak RM342,000  dengan peroleh pendapatan bersih malam Gala Dinner tersebut sebanyak RM262,000.

Menurut beliau, pihaknya berbangga kerana majlis berjaya dilaksanakan tanpa menggunakan pengurusan acara, sebaliknya diuruskan sendiri oleh PIBG dan sekolah serta pelajar.