Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gajah, Terengganu menerima penghargaan dan penarafan lima bintang Inisiatif Penglibatan Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK) peringkat kebangsaan tahun 2016.

Penghargaan tersebut diterima bagi kategori pengurusan sekolah cemerlang.

Bagi tahun ini pula, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu telah memilih PIBG sekolah ini bagi anugerah PIBG Cemerlang kategori rendah luar bandar sempena perayaan Hari Guru peringkat negeri Terengganu.

Pengerusi PIBG SK Pasir Gajah, Anuar Ismail berkata, pengiktirafan yang diberikan cukup bermakna dan bertekad akan terus memberi yang terbaik untuk PIBG dan warga sekolah.

"Tidak dinafikan, hasil daripada pentadbiran yang profesional, komuniti kami menjadi lebih mantap dan sentiasa menerima kehadiran seratus peratus setiap kali bermesyuarat agung tahunan. Inilah senjata PIBG sekolah sehingga meraih pelbagai anugerah.

"Selain itu, kerjasama erat komuniti setempat dalam segala program yang dilaksanakan seperti gotong-royong, amat dipuji. Malah, peka dengan perubahan, cepat membuat pembaharuan, fokus pada masalah dan cepat selesaikan, antara kekuatan barisan guru dan PIBG serta PIBK," katanya.

Katanya, agenda PIBK sama sahaja dengan agenda PIBG. PIBK juga diterajui oleh PIBG dan guru besar. Jika PIBG berjaya, PIBK juga turut berjaya.

Menurut beliau, PIBG dan sekolah memang saling berkait rapat. Jika sekolah mahu pastikan kecemerlangan, PIBG juga begitu.

"PIBG adalah organisasi yang sentiasa bersedia memastikan semua agenda kecemerlangan sekolah dicapai dalam bentuk akademik, kokurikulum, sahsiah murid dan pelbagai program bersama komuniti setempat.

"Selain sekolah, kita juga rapat dengan komuniti dan komuniti yang sentiasa bersama kami ialah Institut Intan Wilayah Timur, Bank Rakyat, Ladang Rakyat, Nafida vanture, Mahaza Bandi, JKKK Kampung serta ibu bapa," katanya.

Mengenai kewangan pula, beliau berkata, tahun ini sahaja PIBG telah meluluskan empat projek untuk pembangunan murid yang melibatkan pembesaran dewan dan surau, keceriaan kawasan sekolah dan tempat menunggu ibu bapa ketika anak pulang.

"Ini semua dilaksanakan demi memantapkan lagi gabungan daripada semua pihak dan menggunakan kos sebanyak RM50,000 hasil derma ibu bapa dan komuniti setempat," katanya.

Anuar turut melahirkan penghargaan untuk Pegawai Pendidikan Daerah Kemaman, Tuan Idris Bidin yang banyak memberi tunjuk ajar dan suntikan semangat dalam segala program sekolah serta sentiasa turun padang menghadiri program anjuran SK Pasir Gajah.  

Berkhidmat sebagai pengerusi PIBG selama 11 tahun, Anuar berharap, segala usaha tidak terhenti di sini. Mereka akan terus melangkah demi mencapai segala kecemerlangan dan ingin mencipta sejarah untuk membuktikan sekolah luar bandar juga mampu bersinar.